KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah menjelaskan baginda pernah mengesyorkan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) beberapa nama pemain warisan, termasuk tujuh pemain yang kini dalam siasatan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Baginda bertitah cadangan itu dibuat dengan niat murni untuk membantu memperkukuh skuad kebangsaan, serta membuka peluang kepada bakat-bakat berdarah Malaysia di luar negara untuk berkhidmat kepada tanah air.
Tengku Abdul Rahman bertitah sejak hujung 2024, beberapa ejen telah menghubungi baginda untuk mencadangkan pemain bagi tujuan penilaian, sebelum baginda memanjangkan maklumat berkenaan kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci.
“Antara pemain yang pernah saya syorkan kepada FAM termasuklah tujuh pemain warisan yang kini terlibat dalam kes siasatan dan sekatan oleh FIFA.
“Untuk makluman, kesemua tujuh pemain tersebut kini merupakan warganegara Malaysia yang sah setelah diberikan kewarganegaraan oleh kerajaan Malaysia, melalui proses yang sah dan teratur mengikut peruntukan undang-undang negara,” titah baginda dalam kenyataan kepada media hari ini.
Tengku Abdul Rahman bertitah baginda percaya kehadiran pemain naturalisasi dan pemain warisan, mampu meningkatkan kualiti permainan serta daya saing skuad kebangsaan.
“Saya telah memanjangkan cadangan tersebut kepada FAM untuk dinilai dengan lebih terperinci bagi menentukan sama ada pemain-pemain berkenaan memenuhi syarat sebagai pemain warisan dan seterusnya dipertimbangkan untuk menyertai skuad kebangsaan,” titah baginda.
Tengku Abdul Rahman turut berkongsi usaha dilakukan bersama pasukan Pahang yang pernah terlibat dalam proses naturalisasi pemain seperti Mohamadou Sumareh, Sergio Aguero dan Lee Tuck, yang dilihat sebagai langkah strategik memperkukuh kekuatan taktikal pasukan negara.
Sementara itu, baginda menzahirkan penghargaan terhadap visi dan kepimpinan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, yang disifatkan telah meningkatkan mutu skuad Harimau Malaya termasuk kejayaan luar biasa Johor Darul Ta’zim FC (JDT) yang kini menjadi penanda aras profesionalisme dan pengurusan moden landskap bola sepak negara.
Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain naturalisasi iaitu Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel, dihukum Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.
Dalam kenyataan sebelum ini, FIFA memaklumkan FAM telah mengemukakan dokumen yang dipalsukan bagi mengesahkan kelayakan pemain-pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun.
Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF 350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda CHF 2,000 (sekitar RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.
-- BERNAMA