SUKAN

Malaysia Raih Dua Gangsa Dalam Teqball Sukan Belia Asia 2025

24/10/2025 01:15 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Malaysia meraih dua pingat gangsa bersejarah dalam acara teqball pada Sukan Belia Asia 2025 di Bahrain, pingat rasmi pertama yang disumbangkan oleh Persatuan Teqball Malaysia (MTA) sejak penubuhannya pada 2018.

Menurut kenyataan MTA, kejayaan itu menandakan detik penting bagi perkembangan sukan berkenaan di Malaysia.

Presidennya Sivakumar Jakarathan berharap sukan itu akan menerima lebih banyak sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara serta penaja berpotensi bagi membantu memperkembangkan teqball dan melahirkan lebih ramai atlet yang mampu meraih pingat di peringkat antarabangsa.

“Dengan sokongan sewajarnya, kami dapat memperluas program pembangunan atlet dan membentuk skuad yang mantap bagi menghadapi Sukan SEA Bangkok 2025 pada Disember ini serta Sukan SEA 2027 di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482357