JOHOR BAHRU, 24 Okt (Bernama) -- Yayasan Warisan Johor (YWJ) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Konsulat Jeneral Republik Indonesia (KJRI) Johor Bahru dan Taman Warisan Melayu (MHC) Singapura dalam memperluaskan kerjasama serantau dan memperkukuh jaringan diplomasi budaya serta seni warisan.
Pengarah YWJ Nor Syazlan Abd Razak berkata MoU berkenaan dimeterai sempena penganjuran Wonderful Nusantara Festival (WNF) 2025 yang kini memasuki edisi ketiga.
Beliau berkata kerjasama itu mencerminkan kesungguhan Johor sebagai hab penting yang merancakkan pertukaran budaya, seni persembahan dan pelancongan berasaskan warisan di rantau ini.
“Menerusi WNF, kami dapat memperkenalkan kepelbagaian kebudayaan dan kesenian Johor serta nusantara dan kami tidak perlu pergi jauh untuk melihat keunikan dua negara ini,” katanya pada Majlis Menandatangani MoU dan Sidang Media WNF 2025 di sini hari ini.
MoU berkenaan ditandatangani Nor Syazlan bersama Konsul Jeneral Republik Indonesia di Johor Bahru Sigit S. Widiyanto dan Pengurus Besar MHC Singapura Mohamed Hafiz Mohamed Shariff.
Nor Syazlan berkata WNF tahun ini turut mendapat penyertaan baharu daripada kerajaan Thailand menerusi Bunditpatanasilpa Institute of Thailand dan Majlis Seni Sarawak.
Beliau berkata festival berlangsung bermula semalam sehingga Ahad ini di Kompleks Warisan Sultan Abu Bakar di sini, menghimpunkan pelbagai aktiviti seni, persembahan budaya, pameran serta gastronomi nusantara negara terlibat.
Ia meliputi Pameran Pavilion Budaya yang menampilkan warisan dan seni, Live Cultural Showcase dan aktiviti interaktif di Rumah Zapin, Pementasan Teater Dewata, Festival Makanan Nusantara anjuran MaQan Event dan persembahan eksklusif daripada Thailand iaitu 3rd Wonderful Nusantara Soiree - A Regal Gala of Radiance.
Nor Syazlan berkata pihaknya mensasarkan kehadiran 30,000 pengunjung dari dalam dan luar negara ke festival berkenaan, dengan lebih 10,000 orang berjaya dicatatkan setakat ini.
Dalam pada itu, beliau berkata YWJ dijangka akan menjalinkan kerjasama dengan Brunei dan Filipina dalam memperkukuh kerjasama meluas menerusi penglibatan negara ASEAN lain pada tahun depan.
Beliau berkata usaha itu akan menjadikan festival berkenaan sebagai platform utama penyatuan dan perkongsian budaya di Asia Tenggara.
“Seiring dengan Tahun Melawat Johor 2026, pastinya acara ini akan berkembang meriah dengan rakan kolaborasi baharu.
“Ini menunjukkan tanda positif yang sangat baik dalam memperkukuhkan hubungan antara negara ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA