EKONOMI

ASEM, IIT Madras Global Jalin Kerjasama Perkukuh Posisi Malaysia Di Rantaian Nilai Semikonduktor Global 

22/10/2025 10:23 PM

KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) dan   Indian Institute of Technology Madras (IIT Madras Global) menjalinkan kerjasama strategik untuk memperteguh kedudukan Malaysia di peringkat global dan daya tahannya dalam rantaian nilai semikonduktor.

Menurut ASEM dalam kenyataan hari ini, melalui kerjasama ini, Malaysia menyasarkan untuk memperluas akses pasaran dan mengurangkan kebergantungan yang tinggi ke atas industri semikonduktor di Amerika Syarikat, China dan Taiwan -- satu langkah penting dalam persekitaran ketidaktentuan global yang berterusan dan gangguan rantaian bekalan.

“Kerjasama ini juga akan menjamin kedudukan strategik dalam pasaran semikonduktor India yang sedang berkembang pesat dan dianggarkan bernilai US$100 bilion (US$1 = RM4.22) sekali gus membuka ruang kepada pelaburan baharu, usaha sama dan peluang pembangunan bersama yang akan meningkatkan daya saing Malaysia sebagai sebuah ekonomi berasaskan reka bentuk,” kata ASEM.

Majlis pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak yang diadakan di Shah Alam telah disaksikan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B.N. Reddy.

Susulan MoU berkenaan, ASEM dan IIT Madras Global akan melancarkan dua inisiatif utama pada 2026 iaitu program kemahiran siswazah dalam seni bina komputer dan Reka Bentuk RISC-V serta program pertukaran semester dan pensijilan bersama dengan kerjasama Universiti Selangor (UNISEL).

Inisiatif ini yang akan menyaksikan pembangunan bersama kurikulum kejuruteraan elektrik dan elektronik yang dipertingkat, bakal memberi manfaat kepada siswazah pada masa depan yang akan menerima ijazah tempatan serta pensijilan bersama daripada IIT Madras sekali gus mengukuhkan kebolehpasaran global dan pengiktirafan akademik mereka.

Secara keseluruhan, program ini dijangka melatih seramai 350 peserta pada 2026, dan menjadi asas kepada kerjasama dua hala yang lebih mendalam dalam bidang pendidikan semikonduktor serta penyelidikan dan pembangunan (R&D).

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2481717