TASEK GELUGOR, 24 Okt (Bernama) -- Penduduk yang kawasan dilanda banjir di kawasan Lahar Yooi dan Labuh Banting, di sini memaklumkan rumah mereka dinaiki air secara mengejut bermula 3 pagi hari ini ketika masing-masing sedang tidur namun kesemuanya dapat menyelamatkan diri.
Air banjir masuk dengan cepat ke dalam rumah mereka ekoran hujan lebat sejak petang semalam dan penduduk memaklumkan hanya sempat menyelamatkan dokumen dan barangan penting sahaja dalam kejadian tersebut.
Seorang penduduk Muhammad Haris Ramli 30-an berkata beliau dan keluarganya sedang tidur sebelum terjaga, apabila jiran memanggil kerana memaklumkan kawasan rumah mereka telah dilanda banjir.
Beliau berkata dia bersama isteri dan dua anak mereka terus bangun dan mendapati air sudah masuk rumah mereka kira-kira paras buku lali, sebelum tiba-tiba air deras masuk lagi ke dalam rumah hingga lutut.
“Kami terus bangun dan ambil beberapa barangan penting yang sempat dan saya hanya berjaya alihkan kereta pada 4 pagi, ketika itu air masuk dalam rumah dengan laju dan saya hanya fikirkan kami semua selamat sahaja.
“Habis semua perabot dan juga peralatan elektrik dalam rumah rosak kerana saya memang tak sempat nak selamatkan apa-apa pagi tadi," katanya ketika ditemui pemberita di Lahar Yooi di sini hari ini.
Sementara itu, Nur Jannah Adenan, 40, berkata hujan lebat sejak petang semalam berlarutan hingga tengah malam dan secara tiba-tiba awal pagi tadi rumahnya dimasuki air dengan sangat cepat.
Beliau berkata beliau hanya menyedari kejadian itu apabila anak-anaknya mengejutkannya, kerana dia tengah tidur dan air mula masuk di bahagian ruang tamu sebelum ke bahagian dapur dalam masa tidak sampai lima minit.
“Nasib la anak-anak terdengar bunyi siren amaran banjir, mereka terus panggil saya yang sedang tidur dan semasa kejadian kami enam beranak dalam rumah sebelum terus keluar nak selamatkan diri,” katanya yang berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Lahar Yooi.
Nur Jannah berkata mereka sekeluarga sepatutnya ke Langkawi, Kedah hari ini untuk bercuti namun terpaksa membatalkannya berikutan banjir yang melanda rumah ketika ini.
Beliau berkata sehingga pukul 4 petang tadi, hujan masih turun di kawasan rumah mereka malah air banjir turut masih berada dalam kediaman serta kawasan sekitar.
Sehingga petang ini, sebanyak lapan PPS dibuka dan menempatkan 749 mangsa banjir daripada 225 keluarga di tiga daerah di Pulau Pinang.
-- BERNAMA