AM

JBPM Tingkat Pemantauan Di 53 Lokasi 'Hotspot' Banjir Di Pulau Pinang

24/10/2025 09:45 PM

GEORGE TOWN, 24 Okt (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang meningkatkan pemantauan serta pemeriksaan di semua 53 lokasi 'hotspot’  banjir yang dikenal pasti di seluruh negeri, susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan sehingga esok.

Pengarahnya Mohd Shoki Hamzah berkata setakat pukul 8 malam ini, lebih 10 lokasi hotspot yang dikenal pasti pihaknya telah dilanda banjir sejak tengah malam tadi.

Katanya kawasan yang kini terjejas ialah di daerah Barat Daya, Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Utara (SPU), dengan semua mangsa dipindahkan ke lapan pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka sejak tengah malam tadi.

"Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada berkuat kuasa sehingga esok. Susulan itu, pihak bomba meningkatkan pemantauan di kawasan hotspot bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku hujan lebat yang berisiko menyebabkan banjir.

“Langkah ini bagi memastikan keselamatan penduduk terjamin terutama untuk memindahkan mereka ke tempat selamat sekiranya keadaan memerlukan,” katanya ketika dihubungi  Bernama malam ini.

Sementara itu, Mohd Shoki memaklumkan sepanjang hari ini pihaknya menerima 10 laporan kejadian pokok tumbang di sekitar Paya Terubong, Jalan Gertak Sanggul, Balik Pulau dan Nibong Tebal. Bagaimanapun, tiada mangsa terlibat dalam insiden tersebut.

Beliau berkata kebanyakan pokok tumbang di tepi jalan dan ada yang merentangi laluan utama, namun tidak menimpa sebarang kenderaan atau individu.

"Pasukan bomba bersama pihak berkuasa lain bertindak pantas memotong serta membersihkan semua pokok tumbang di lokasi yang terjejas bagi memastikan kelancaran lalu lintas,”katanya.

Beliau berkata seramai 203 pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang dengan kekuatan logistik melibatkan 31 jentera, lapan ambulans, tiga lori, 19 pacuan empat roda dan 10 unit pajero digerakkan sepanjang operasi serta pemantauan hari ini.

Sementara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dalam kenyataan memaklumkan bagi memastikan kelancaran sistem saliran dan kesiapsiagaan menghadapi musim tengkujuh, Datuk Bandarnya Datuk Baderul Amin Abdul Hamid mengadakan lawatan ke beberapa lokasi hotspot.

Menurut MBSP lawatan  tersebut merangkumi pemeriksaan ke Rumah Pam Taman Sentul, Taman Sentul Jaya, Taman Mangga dan Taman Pinang bagi memastikan semua sistem pam berada dalam keadaan baik serta berfungsi sepenuhnya.

"Bagi menjamin operasi yang berterusan, petugas teknikal MBSP bersiap siaga 24 jam manakala paras air dipantau secara masa nyata melalui Sistem INFLOS" menurut MBSP di laman Facebooknya malam ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482734