Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar
JAKARTA, 24 Okt (Bernama) -- Presiden Brazil Luiz Inácio Lula da Silva mencatat sejarah apabila menjadi pemimpin negara itu yang pertama melakukan lawatan rasmi ke Ibu Pejabat ASEAN di Jakarta Selatan pada Jumaat.
Lawatan itu juga mencerminkan kerjasama yang semakin kukuh antara blok serantau berkenaan dengan ekonomi terbesar Amerika Latin itu.
Lula dan delegasi disambut oleh Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn, yang memuji komitmen Brazil dalam memperkukuh kerjasama selepas penubuhan Perkongsian Dialog Sektoral ASEAN-Brazil pada 2022, menurut kenyataan daripada Sekretariat ASEAN.
Dalam sesi pertemuan, Lula dan Kao membincangkan kerjasama dalam bidang utama seperti tenaga, keselamatan makanan, dan pertukaran antara rakyat serta menekankan keutamaan bersama termasuk mempromosikan perdagangan dan pelaburan, pelancongan, tindakan iklim dan pembangunan mampan, di samping mendukung visi ASEAN 2045.
Kao turut memuji kepimpinan Brazil dalam memperjuangkan kepentingan Selatan Global dan peranan aktif di pentas antarabangsa, termasuk sebagai Presiden BRICS tahun ini dan menjadi tuan rumah Persidangan Pihak-Pihak ke-30 (COP30) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim pada November ini.
Sebagai sebahagian daripada lawatan itu, Lula turut mengunjungi Galeri ASEAN yang mempamerkan sejarah, budaya dan pencapaian negara anggota ASEAN, serta bertukar-tukar cenderamata peringatan dengan Kao bersempena dengan lawatan itu.
Brazil menyertai Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara pada 2011 dan menubuhkan Misi Tetap ke ASEAN pada 2023, yang pertama oleh mana-mana Rakan Dialog Sektoral ASEAN.
Lula tiba di Jakarta pada Rabu sebelum meneruskan lawatan ke Malaysia untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Asia Timur.
-- BERNAMA