EKONOMI

MIHAS 2025 Lepasi Sasaran, Jana Perdagangan Bernilai RM6.05 Bilion

24/10/2025 07:08 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2025 edisi ke-21 mencatatkan jualan tertinggi sebanyak RM6.05 bilion, mengatasi RM4.3 bilion tahun lepas dengan peningkatan 40.7 peratus.

Selaku penganjur, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam satu kenyataan berkata pameran empat hari dari 17 hingga 20 September di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), menarik lebih 50,000 pelawat perdagangan dari 107 negara, sekali gus mengukuhkan statusnya sebagai pemimpin global dalam ekonomi halal.

Pameran yang bertemakan “Mercu Keunggulan Halal” (Pinnacle of Halal Excellence) itu menampilkan 2,400 reruai yang mempamerkan produk dan perkhidmatan merangkumi 14 kluster halal.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata kejayaan MIHAS 2025 merupakan bukti kukuh kepimpinan global negara dalam ekonomi halal, yang mana menggabungkan inovasi dengan integriti serta skala dengan kemampanan.

“Berpandukan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan Pelan Induk Industri Halal (HIMP) 2030, Malaysia bukan sahaja mengembangkan ekonomi halal tetapi turut membentuk ekosistem halal yang inklusif, berdaya saing dan bersedia untuk masa hadapan, sambil meletakkan Malaysia secara berkesan sebagai peneraju yang dipercayai dalam rantaian nilai halal global.

“Kejayaan MIHAS dari tahun ke tahun juga mencerminkan keupayaan kita untuk memperkasa pengeksport (terutamanya perusahaan kecil dan sederhana), menghubungkan pasaran, memangkin inovasi dan memperjuangkan ekonomi halal Malaysia merentas sempadan selaras dengan peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN pada 2025,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata MIHAS 2025 mengesahkan semula kedudukan Malaysia sebagai nadi kepada industri halal global.

“Melepasi sasaran RM4.5 bilion dengan mencatat jualan yang memecah rekod sebanyak RM6.05 bilion dan menarik pengunjung dan pembeli perdagangan dari setiap benua, pameran ini meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran halal global sambil memacu kerjasama, inovasi dan diplomasi perdagangan untuk membolehkan syarikat-syarikat Malaysia berkembang maju ke peringkat antarabangsa,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz menyifatkan MIHAS sebagai pelan tindakan yang hidup untuk kepimpinan Malaysia membentuk masa depan ekonomi halal.

“Dengan mengintegrasikan inovasi digital, risikan pasaran masa nyata dan penglibatan pembeli bersasar, MIHAS memperkasa pengeksport Malaysia, khususnya PKS untuk bersaing dengan yakin di pentas global,” katanya.

MATRADE menambah Program Pembeli Dihoskan (HBP) yang diadakan serentak telah memudahkan 370 pertemuan antara 50 pembeli tempatan dan pempamer luar negara di MIHAS, sekali gus menjana jualan sebanyak RM530 juta.

MIHAS 2025 juga berperanan sebagai platform kepimpinan pemikiran melalui Hab Pengetahuan (Knowledge Hub) yang menampilkan dialog dan webinar mengenai pensijilan halal, pematuhan dan kemampanan.

Selain itu, MIHAS memperluas capaiannya dengan menawarkan wawasan berterusan mengenai industri halal melalui akses 24/7 di portal MIHAS dan Platform Perdagangan Digital MADANI (MDT).

Sementara itu, Program Penyumberan Antarabangsa (INSP) 2025 yang diadakan bersempena MIHAS, menyaksikan penampilan sulung Platform MDT berkuasa kecerdasan buatan (AI) yang menggunakan AI untuk memadankan pengeksport Malaysia dengan pembeli global secara masa nyata, satu inisiatif yang selaras dengan NIMP 2030 dan Rangka Tindakan Perdagangan Nasional.

Program fizikal INSP telah menghubungkan 600 pengeksport Malaysia dengan 300 pembeli antarabangsa termasuk 50 Pembeli Premium seperti pengimport utama dan rangkaian pasar raya besar terkemuka, di samping 150 pembeli maya yang mewakili kombinasi jumlah hasil tahunan melebihi RM1.5 trilion.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482630