IPOH, 24 Okt (Bernama) -- Taburan hujan yang tinggi dan berterusan, selain pertembungan dengan fenomena air pasang dikenal pasti sebagai punca utama banjir kilat di beberapa kawasan di Manjung, Larut Matang dan Selama (LMS), Kerian serta Kinta semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam negeri Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dalam kenyataan hari ini berkata hujan lebat berintensiti tinggi sejak pagi hingga petang semalam menyebabkan sistem perparitan dan saliran sedia ada gagal menampung aliran air secara mendadak, sekali gus mengakibatkan limpahan di kawasan rendah.
Beliau berkata Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam tinjauan cuaca menyatakan purata jumlah hujan bulanan bagi empat daerah terlibat dianggarkan antara 140 hingga 190 milimeter (mm).
“Jumlah hujan dibeberapa stesen di Daerah LMS dan Kerian merekodkan jumlah hujan yang menyamai dan melebihi purata hujan bulanan Oktober, khususnya di Stesen Pondok Tanjung (244.5 mm), Sg Kurau Batu 14 (174mm) dan Bukit Larut (136mm).
“Fenomena hujan lebat berpanjangan yang berlaku serentak dengan air pasang besar turut memburukkan keadaan di daerah Kerian, LMS serta Manjung menyebabkan beberapa penempatan rendah dinaiki air,” katanya.
Terdahulu, hujan lebat sejak pagi semalam menyebabkan beberapa daerah di Perak dinaiki air sehingga memaksa lebih 2,000 mangsa meninggalkan rumah masing-masing dan berlindung di 24 pusat pemindahan sementara (PPS).
Sementara itu, Mohammad Nizar berkata kadar aliran air yang tinggi ke kawasan tadahan Empangan Bukit Merah memaksa Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Perak melaksanakan pelepasan air ke Sungai Kurau mengikut prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan keselamatan struktur empangan itu.
“Hujan berpanjangan di kawasan hulu empangan mencatatkan bacaan tertinggi di Stesen Pondok Tanjung iaitu sebanyak 259.0 milimeter dan Stesen Sungai Kurau Batu 14 sebanyak 184.0 milimeter.
“Kadar aliran air meningkat ketara daripada 61.8 meter padu sesaat (m³/s) kepada 200 m³/s antara 6 petang hingga 9 malam pada 23 Okt dan kekal melebihi 200 m³/s sehingga 10 pagi tadi, malah masih tinggi setakat 1 petang tadi,” katanya.
Mohammad Nizar berkata kesan daripada peningkatan itu, paras air empangan turut naik daripada 8.7 meter (paras normal) pada 6 petang semalam kepada 9.1 meter (paras bahaya) pada 6 pagi tadi.
Beliau berkata tindakan pelepasan berkenaan selaras dengan Pelan Tindakan Kecemasan (EAP) Empangan Bukit Merah bagi memastikan struktur empangan kekal selamat dan berfungsi dengan optimum.
“Langkah itu dibuat bagi mengawal paras air empangan yang meningkat mendadak susulan hujan berterusan di kawasan tadahan sejak beberapa hari lepas,” katanya.
-- BERNAMA