JENAYAH & MAHKAMAH

Cerun Runtuh: Jalan Tun Sardon Tutup Sehingga Dimaklumkan

25/10/2025 01:57 PM

GEORGE TOWN, 25 Okt (Bernama) -- Jalan Negeri P14 iaitu Jalan Tun Sardon (Bukit Baru) dekat sini yang dijadualkan dibuka semula hari ini, akan ditutup kepada semua kenderaan hingga dimaklumkan kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan Pulau Pinang Zairil Khir Johari berkata keputusan dibuat atas faktor keselamatan kerana terdapat enam runtuhan cerun baharu direkodkan setakat 12 tengah hari ini.

“Pasukan teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) telah berada di lokasi kejadian untuk siasatan lanjut. Kerja pembersihan yang dimulakan semalam dihentikan seketika ekoran hujan lebat masih berterusan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Zairil memohon pengguna jalan raya merancang perjalanan susulan lanjutan penutupan jalan itu.

Jalan P14 iaitu Jalan Tun Sardon yang menghubungkan Paya Terubong ke Balik Pulau dijadualkan dibuka 6 petang ini, selepas ditutup pada 6 petang Khamis lepas ekoran runtuhan cerun, dipercayai berlaku kesan hujan lebat berterusan bermula awal pagi hari sama.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang Kol (PA) Lokman Hakim Abdul Rahman berkata sebanyak 100 anggota digerakkan untuk penugasan banjir mengikut zon dengan tumpuan diberikan di kawasan hotspot. 

“Selain pemantauan di lapangan, anggota turut ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) mengikut keperluan yang diselaraskan bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) manakala tugas menyelamat diselaraskan dengan agensi berkaitan seperti bomba,” katanya.

Lokman Hakim berkata demikian kepada pemberita semasa meninjau PPS Sekolah Kebangsaan Tan Sri Awang Had Salleh di Balik Pulau hari ini, bersama-sama Pengarah JKM Pulau Pinang Rozita Ibrahim dan Timbalan Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Nelmarjit Singh.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid juga menyantuni 31 mangsa daripada sembilan keluarga yang berada di PPS itu. 

Mohamad berkata sembilan keluarga itu menerima sumbangan wang ihsan daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP) dan bantuan sama akan diberikan kepada mangsa banjir di PPS di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482917