AM

Jemaah Menteri Kekalkan Garis Panduan Sekolah, Larang Promosi Arak

24/10/2025 10:48 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju untuk mengekalkan garis panduan serta amalan sedia ada berhubung penganjuran program dan penyaluran sumbangan kepada sekolah di seluruh negara.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerusi kenyataan memaklumkan bahawa keputusan tersebut selaras dengan keputusan MJM pada 24 Julai tahun lepas.

“Pada masa sama, Jemaah Menteri turut menegaskan bahawa amalan sedia ada di dewan sekolah yang dikendalikan oleh Lembaga Pengelola Sekolah (LPS) serta dewan-dewan sekolah swasta adalah tidak terjejas.

“Pendekatan ini selaras dengan amalan yang telah diterima dan dilaksanakan oleh pentadbiran-pentadbiran terdahulu, termasuk kerajaan sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Antara garis panduan utamanya ialah aktiviti sumbangan dana tidak boleh memaparkan atau mempromosi minuman keras di dalam premis sekolah.

Semalam di Dewan Rakyat, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penganjuran pesta arak atau aktiviti yang bertentangan dengan nilai pendidikan di kawasan sekolah, termasuk selepas waktu persekolahan.

Beliau berkata demikian, susulan kejadian sebuah pesta arak yang dianjur oleh persatuan alumni sebuah sekolah menengah di Ipoh, Perak pada 27 Sept lepas.

-- BERNAMA


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482747