KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sepuluh syarikat Malaysia meneraju usaha mencapai matlamat ekonomi kitaran negara dengan menandatangani Ikrar Sifar Sisa ke Tapak Pelupusan (ZWTL), satu inisiatif oleh Control Union Malaysia yang bertujuan menggalakkan pengurusan sisa dan pemulihan sumber secara bertanggungjawab di seluruh sektor perindustrian negara.
Control Union Malaysia dalam kenyataan memaklumkan Ikrar ZWTL adalah antara acara utama pada Persidangan Tindakan Lestari 2025 (SAC 3.0) yang berlangsung pada Rabu lepas, menghimpunkan 300 peserta termasuk peneraju industri, rakan ekosistem dan penyokong kelestarian.
Antara syarikat yang menandatangani ikrar itu adalah ADA Biotech Sdn Bhd, CKY Recycle Plastic Sdn Bhd, Dragonpak Industries (M) Sdn Bhd, Entomal Biotech Sdn Bhd, Greenmate Sdn Bhd, Intco Malaysia Sdn Bhd, Kilang Isi Sawit Sin Huat Hin Sdn Bhd, Lean Giap Group, Weng Meng Industries Sdn Bhd serta Control Union Malaysia Sdn Bhd.
Inisiatif itu turut disokong oleh Cypark Resources Berhad, Heng Hiap Industries Sdn Bhd, Quinterra PLT dan Weng Meng Greentech Sdn Bhd yang bertindak sebagai rakan ekosistem menyediakan penyelesaian kutipan, kitar semula dan pemulihan di sepanjang rantaian nilai sisa.
Majlis menandatangani ikrar itu disaksikan oleh Duta Belanda ke Malaysia Jacques Werner bersama wakil industri serta peneraju kelestarian.
Setiap syarikat yang menyertai inisiatif itu turut menerima sepasang cermin mata hitam yang diperbuat daripada plastik terikat lautan yang dihasilkan oleh Heng Hiap Industries, syarikat pertama di dunia yang diperakui sebagai Syarikat Plastik Terikat Lautan (OBP), sebagai peringatan simbolik sisa boleh ditukar menjadi produk bernilai.
Menurut Control Union Malaysia, usaha kolektif itu menyasarkan untuk mengalihkan sekurang-kurangnya 75 peratus sisa daripada tapak pelupusan dalam tempoh 12 bulan, sejajar dengan Pelan Induk Ekonomi Kitaran Sisa Pepejal di Malaysia 2025-2035.
“Komitmen setiap syarikat menandakan langkah nyata ke arah mengurangkan kebergantungan terhadap tapak pelupusan dan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi kitaran rendah sisa melalui pengasingan sisa, kitar semula dan inovasi pemulihan,” menurut kenyataan itu.
Pengarah Urusan Control Union Malaysia Supun Nigamuni berkata Ikrar ZWTL bukan sekadar satu pengisytiharan korporat, sebaliknya seruan tindakan kepada industri untuk mengubah cara mereka menguruskan sumber dan sisa.
“Dengan kerjasama rapat bersama peneraju industri dan rakan ekosistem, kami mempercepatkan peralihan daripada pengurusan sisa kepada pengurusan sumber, seterusnya membina Malaysia yang lebih berdaya tahan dan berasaskan ekonomi kitaran,” katanya dalam kenyataan itu.
-- BERNAMA