TANGKAK, 25 Okt (Bernama) -- Empat termasuk seorang remaja perempuan 18 tahun maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan di Kilometer 32.5 Jalan Muar–Segamat berhampiran Bandar Baru Sagil di sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Tangkak Supt Roslan Mohd Talib berkata kemalangan pada 10.20 malam membabitkan tiga motosikal dan sebuah Perodua Myvi.
“Tiga mangsa maut di tempat kejadian iaitu dua lelaki berusia 20 tahun dan remaja perempuan tersebut manakala seorang remaja 19 tahun meninggal dunia di Hospital Tangkak.
“Semua mereka merupakan penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha 135LC serta Yamaha Y15ZR,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Roslan berkata pemandu dan penumpang Myvi tidak cedera.
Beliau berkata siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Khairul Azmi Ibrahim menerusi talian 011-12445836 atau hadir ke balai polis berhampiran.
-- BERNAMA