Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dalam jajaran kecil minggu depan, seiring prestasi di pasaran tunai pendasar di tengah-tengah sentimen berhati-hati yang berterusan.
Ketua penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leong, berkata sentimen berhati-hati itu berkemungkinan berterusan apabila pelabur terus memantau perkembangan hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.
Beliau berkata FBM KLCI berada dalam momentum kukuh dan dijangka kekal stabil minggu depan bagi tempoh jangka pendek.
"Indeks utama dijangka berada pada paras rintangan 1,622 mata, diikuti 1,638 mata. Sebaliknya, paras sokongan dijangkakan pada 1,600 mata dan 1,580 mata," kata Leong kepada Bernama.
Bagi asas mingguan, kontrak Oktober 2025 meningkat 7.5 mata kepada 1,611.0, kontrak November 2025 naik 7.0 mata kepada 1,610.5, kontrak Disember 2025 dan Mac 2026 menokok 8.0 mata masing-masing kepada 1,610.0 dan 1,593.0.
Jumlah dagangan bagi minggu yang baru berakhir ini menyusut kepada 27,224 lot daripada 34,543 lot pada minggu sebelumnya manakala kepentingan terbuka turun kepada 46,375 kontrak daripada 46,471 kontrak.
Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI mengukuh 6.09 mata kepada 1,613.27 daripada paras 1,607.18 pada minggu sebelumnya.
-- BERNAMA