PASARAN

FBM KLCI Dijangka Kekalkan Momentum Positif Minggu Depan

25/10/2025 10:21 AM

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) dijangka mengekalkan momentum positif minggu depan, disokong oleh minat belian yang berterusan melepasi paras psikologi 1,600.

Ketua penyelidikan Berjaya Research Sdn Bhd, Kenneth Leon, berkata momentum pemulihan yang berterusan dijangka disokong oleh sentimen pasaran yang lebih baik, susulan lantunan semula pasaran baru-baru ini dan keyakinan terhadap perkembangan hubungan perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

"Para pelabur akan memantau rapat beberapa pengumuman pendapatan korporat AS bagi mencari petunjuk seterusnya tentang penerimaan risiko global dan kemampanan pendapatan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng, menjangkakan turun naik pasaran akan berterusan sehingga terdapat kepastian yang lebih jelas daripada perbincangan perdagangan antara AS dan China yang dijangkakan pada minggu depan.

"Buat masa ini, kami menjangkakan indeks penanda petunjuk pasaran bergerak dalam jajaran 1,600-1,630 pada minggu depan," katanya.

Sementara itu, di AS, indeks harga pengguna (IHP) bagi September yang dikeluarkan malam tadi, merupakan laporan ekonomi utama pertama sejak penutupan operasi kerajaan pada 1 Oktober.

Menurut laporan, data terkini menunjukkan bahawa IHP teras meningkat kepada 330.54 pada September daripada 329.79 pada bulan sebelumnya, manakala kadar inflasi keseluruhan menurun kepada 3.0 peratus, yang mana lebih rendah daripada jangkaan.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI meningkat 6.09 mata kepada 1,613.27 daripada 1,607.18 pada minggu sebelumnya.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menambah 66.09 mata kepada 12,071.0, Indeks FBMT 100 meningkat 61.57 mata kepada 11,803.59, Indeks FBM ACE menokok 13.77 mata kepada 5,292.66, Indeks FBM 70 melonjak 163.04 mata kepada 17,170.98 dan Indeks FBM Emas Shariah naik 89.42 mata kepada 12,146.69.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 48.43 mata kepada 7,909.29, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.86 mata kepada 171.91, Indeks Tenaga mengukuh 2.39 mata kepada 791.32, dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 12.19 mata kepada 18,204.63.

Jumlah dagangan mingguan turun kepada 13.53 bilion unit bernilai RM9.98 bilion daripada 18.78 bilion unit bernilai RM16.18 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 6.91 bilion unit bernilai RM8.65 bilion daripada 10.80 bilion unit bernilai RM14.53 bilion.

Jumlah dagangan waran merosot kepada 3.81 bilion unit bernilai RM562.09 juta daripada 5.39 bilion unit bernilai RM641.92 juta pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE berkurangan kepada 1.89 bilion unit bernilai RM755.22 juta daripada 2.58 bilion unit bernilai RM992.03 juta. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2482822