AM

"Tidak Berminat Kembali Terajui FAM'' - Tunku Mahkota Ismail

26/10/2025 01:09 AM

PETALING JAYA, 25 Okt (Bernama) -- Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail menegaskan baginda tidak berminat untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), meskipun pernah memegang jawatan Presiden sebelum ini.

Tunku Mahkota Ismail yang menerajui FAM dari 2017 hingga 2018 menjelaskan jawatan itu memerlukan komitmen sepenuh masa, sesuatu yang tidak dapat ditunaikan kerana tanggungjawab rasmi lain yang perlu diberi keutamaan.

“Saya pernah berada di situ sebelum ini. Dari segi masa, saya tidak boleh beri komitmen 24 jam sehari, tujuh hari seminggu kerana banyak tugas rasmi lain.

“Jadi, kita beri kepercayaan kepada individu lain yang lebih layak untuk menguruskan persatuan kerana jawatan presiden memerlukan tumpuan sepenuh masa,” titah baginda pada sidang media di Subang Jaya, dekat sini, hari ini.

Baginda turut memuji bekas Presiden FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin, yang kini menjadi Presiden Kehormat badan induk itu, atas dedikasi serta khidmatnya terhadap pembangunan bola sepak negara.

Tunku Mahkota Ismail bertitah Hamidin melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh komitmen ketika menerajui FAM.

“Saya rasa Dato’ Hamidin ketika menjadi presiden dulu menjalankan tugas dengan sangat baik kerana beliau memberi komitmen penuh, sama ada bersama pasukan muda atau senior.

“Saya pula ada banyak tanggungjawab lain, jadi sudah tentu saya tidak dapat beri sepenuh masa — dan secara jujur, saya pun tidak berminat untuk kembali,” titah baginda.

Baginda turut menjelaskan kehadirannya pada sidang media itu bukan dalam kapasiti rasmi, sebaliknya sebagai tanda komitmen terhadap pembangunan bola sepak negara.

Tunku Mahkota Ismail turut membantu mendapatkan peruntukan tambahan kerajaan bagi pasukan kebangsaan, termasuk elaun pemain, jurulatih dan pegawai.

Menjawab dakwaan kononnya penglibatan baginda menimbulkan konflik kepentingan kerana memiliki kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), baginda menafikannya dengan tegas.

“Saya terlibat bukan kerana kepentingan peribadi, tetapi atas dasar keikhlasan dan keinginan membantu ekosistem bola sepak negara,” titah baginda.

Baginda turut memaklumkan bahawa daripada 27 pemain yang dicadangkan ejen bola sepak bagi inisiatif ‘pemain warisan’, hanya tujuh diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Namun, baginda berikrar akan terus menilai potensi pemain luar sambil memastikan bakat tempatan tidak diketepikan.

“Sudah tentu kita akan terus menilai perkara ini kerana kita ada ramai bakat tempatan yang baik. Tetapi jika ada pemain lain di liga lebih kompetitif yang ingin mewakili negara, saya rasa itu wajar demi kepentingan prestasi pasukan kebangsaan,” titahnya.

Bulan lepas, FAM dan tujuh pemain warisan — Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel — dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.

Menurut kenyataan terdahulu FIFA, FAM didapati menyerahkan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain terbabit untuk beraksi dalam pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.

Susulan itu, FAM dikenakan denda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain dikenakan denda CHF2,000 (sekitar RM10,560) serta digantung selama 12 bulan daripada sebarang aktiviti bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh notis keputusan dikeluarkan.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2483141