EKONOMI

USABC Lancar Edisi Ketujuh 'ASEAN Matters For America, America Matters For ASEAN'

31/10/2025 12:39 AM

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Majlis Perniagaan AS-ASEAN (USABC) dengan kerjasama Pusat Timur-Barat di Washington dan Institut ISEAS-Yusof Ishak, baru-baru ini telah melancarkan penerbitan edisi ketujuh 'ASEAN Matters for America, America Matters for ASEAN' di Sidang Kemuncak Perniagaan dan Pelaburan ASEAN (ABIS) di Kuala Lumpur. 

Penerbitan utama itu memaparkan perdagangan, pelaburan, pekerjaan, perniagaan, diplomasi, keselamatan, pendidikan, pelancongan termasuk hubungan rakyat antara Amerika Syarikat dengan negara anggota ASEAN di peringkat kebangsaan, negeri dan tempatan. 

“Dalam saat-saat penting hubungan ekonomi AS-ASEAN, USABC dengan bangga melancarkan laporan yang tepat pada masanya yang menggariskan kepentingan rantau ini dengan pengumpulan fakta dan angka yang komprehensif,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Interim USABC, Duta Besar Brian McFeeter melalui satu kenyataan.

Beliau memetik, sebagai contoh, perdagangan AS-ASEAN telah melonjak kepada US$553 bilion setahun, dengan ASEAN kini merupakan pasaran eksport keempat terbesar AS. Selain itu, ASEAN dijangka menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

“Bagi kita yang telah menghabiskan hidup dan kerjaya dengan bekerja di Asia Tenggara, kita tidak perlu diyakinkan bahawa ASEAN adalah amat penting. Kita tahu peluang yang wujud tetapi ia adalah satu tanggungjawab untuk berkongsi maklumat ini dengan orang lain termasuk pembuat dasar global dan pemimpin perniagaan. 'ASEAN Matters' adalah sumber yang tidak diragui yang dapat kita gunakan untuk meningkatkan mesej ini,” kata McFeeters.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485519