KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Perjanjian perdagangan timbal balas yang baru-baru ini dimeterai di antara Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) membuktikan kemajuan ketara bagi komuniti perniagaan terutamanya bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Menurut Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) Datuk William Ng, penerima manfaat awal dijangka melibatkan sektor elektrik dan elektronik, mesin serta komponen industri, barangan pengguna dan tekstil terpilih selain makanan diproses dan produk pertanian bernilai tambah.
Beliau berkata PKS yang membekal kepada sektor-sektor ini juga akan menerima manfaat daripada perjanjian tersebut.
“PKS kita berpotensi memperoleh manfaat yang ketara daripada akses yang dipertingkatkan ke pasaran AS berbanding pesaing serantau.
“Perjanjian ini membuka ruang untuk produk khusus, perkhidmatan khusus dan barangan pengguna berjenama menembusi pasaran AS yang kekal sebagai yang terbesar di dunia,” katanya.
Beliau berkata, perjanjian itu memberikan kepastian dan kejelasan mengenai apa yang boleh dijangkakan oleh pengeksport Malaysia apabila berdagang dengan AS pada masa hadapan.
Bagaimanapun, Ng berkata keupayaan untuk memanfaatkan pengecualian tarif ini bergantung kepada kesediaan PKS untuk memenuhi keperluan keselamatan produk, pembungkusan dan pelabelan serta kebolehpercayaan penghantaran dengan sokongan selepas jualan.
“Bagi memastikan manfaatnya meluas dan terangkum, Samenta sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk melaksanakan langkah sokongan bagi menangani kekurangan yang dihadapi oleh PKS kita,” katanya.
Langkah sokongan berkenaan termasuk maklumat jelas mengenai kod HS yang layak, peraturan asal barang dan dokumentasi, pembiayaan eksport, pembangunan kapasiti berkaitan piawaian serta pensijilan selain pemadanan perniagaan dengan rakan kerjasama di AS.
Ng juga berkata tekanan kos domestik termasuk logistik, pematuhan dan pekerja mesti ditangani bagi memastikan PKS Malaysia dapat bersaing dengan berkesan bukan hanya dari segi harga semata-mata.
“Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS juga akan meningkatkan tarikan Malaysia kepada pelabur AS yang ingin mempelbagaikan rantaian bekalan ke Asia Tenggara,” katanya.
Ng berkata secara keseluruhan, PKS mesti melihat perjanjian ini sebagai isyarat untuk meningkatkan keupayaan, mengamalkan piawaian yang lebih tinggi selain bersedia untuk eksport dengan kerjasama kerajaan dan industri bagi mengurus kos serta memastikan tiada syarikat yang ketinggalan.
Di bawah perjanjian itu, 1,711 barisan produk eksport Malaysia akan menikmati pengecualian tarif apabila memasuki pasaran AS seterusnya meningkatkan daya saing harga dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam rantaian bekalan global.
-- BERNAMA