AM

Kajian Rangka Tindakan JS-SEZ Dijangka Siap Pada Suku Pertama 2026

28/10/2025 02:28 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kajian rangka tindakan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang menumpukan pembangunan pelaburan dan data di kawasan berkenaan, dijangka siap pada suku pertama 2026.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata kerajaan turut menyasarkan sebanyak 50 projek berimpak tinggi di kawasan JS-SEZ dalam tempoh lima tahun dan seterusnya 100 projek dalam masa 10 tahun akan datang.

"Kerajaan menyasarkan penciptaan sekurang-kurangnya 20,000 peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dalam tempoh 10 tahun.

"Sehubungan itu, kerajaan sedang melaksanakan kajian rangka tindakan JS-SEZ untuk memberi tumpuan kepada pembangunan pelaburan dan data berkaitan di kawasan itu," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini. 

Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) berhubung pendekatan dan strategi kerajaan dalam memastikan usahawan tempatan mendapat manfaat daripada peluang ekonomi dan pelaburan JS-SEZ.

Menjawab soalan asal berhubung jumlah pelaburan diluluskan kerajaan di kawasan JS-SEZ, Hanifah Hajar berkata berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), nilai pelaburan diluluskan bagi separuh pertama 2025 berjumlah RM37.1 bilion. 

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM24 bilion merupakan pelaburan dalam sektor perkhidmatan seperti teknologi maklumat dan komunikasi manakala baki RM13 bilion bagi sektor pembuatan seperti produk petroleum dan petrokimia. 

"Tiga negara pelabur utama di kawasan JS-SEZ adalah Singapura sebanyak RM28.5 bilion, Itali (RM2.9 bilion) dan China (RM700 juta). 

"Setakat 30 September, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia Johor (IMFC-J) telah memudah cara sebanyak 808 pertanyaan pelabur asing dan domestik, termasuk 11 potensi projek atau pelaburan bernilai RM1.3 bilion, hasil kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi Singapura dan EnterpriseSG," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484285