Oleh Samantha Tan
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Ketika konvoi Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump melalui jalan-jalan di Kuala Lumpur, aktiviti di seluruh bandar seolah-olah terhenti seketika.
Bukan hanya kehadiran beliau mengundang perhatian, tetapi juga maksud simbol di sebaliknya. Buat kali pertama dalam tempoh sedekad, Presiden AS melawat Malaysia, membawa mesej persahabatan dan komitmen yang baharu.
Lawatan Trump, walaupun singkat, membawa makna yang melangkaui bidikan kamera dan jabat tangan rasmi. Lawatan itu menandakan satu detik apabila sekutu lama kembali berhubung dan kepercayaan baharu disemai semula, memperkukuh kerjasama antara Malaysia, ASEAN dan AS, yang berasaskan kemakmuran bersama, keselamatan dan kepercayaan dalam dialog terbuka.
Bagi ramai pihak, lawatan itu menjadi peringatan akan kejayaan Malaysia yang terjalin erat dengan Malaysia. AS telah lama menjadi rakan penting Malaysia dalam bidang perdagangan, teknologi dan pertahanan, membantu membina jambatan serantau dan meletakkan asas kepada kestabilan dan kemajuan ASEAN.
Penganalisis Strategi Keselamatan dan Hubungan Antarabangsa Universiti Malaya (UM) Collins Chong Yew Keat berkata kehadiran Trump di Kuala Lumpur berlaku pada waktu kritikal bagi Asia Tenggara, sebuah rantau yang sedang berdepan perubahan dinamik kuasa dan ketidaktentuan global yang meningkat.
“Trump hadir dengan mesej jelas – AS bersama-sama anda 100 peratus dan kita berhasrat menjadi rakan serta sahabat yang kukuh untuk generasi akan datang. Rantau ini memerlukan kekuatan penuh Amerika dan hanya Trump yang mampu mengembalikan kuasa dan ekonomi Amerika, yang akan memberikan manfaat kepada rantau ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Felow Majlis Profesor Negara Prof Dr Azmi Hassan berkata semangat di sebalik lawatan Trump itu amat dirasai.
“Setiap pemimpin ingin meluangkan masa walaupun seketika dengan beliau. Trump membawa makna besar kepada para pemimpin asing yang berada di Malaysia ketika ini,” katanya sambil mengimbas detik Perdana Menteri Kemboja Hun Manet secara senyap menyerahkan sampul surat kepada Trump pada sidang kemuncak itu.
Malah, Azmi berkata sesuatu yang lebih besar turut berlaku di sebalik tabir – satu pertemuan yang jarang-jarang berlaku antara pasukan perdagangan AS dengan China di luar sidang kemuncak berkenaan.
“Satu perkara yang saya fikir kemuncak lawatan Trump di Malaysia ialah kehadiran pasukan perdagangan dari Rumah Putih dan dari China. Mereka membincangkan perkara itu di Kuala Lumpur. Dan akhirnya, diumumkan bahawa kedua-dua pihak bersetuju mengenai kerangka perjanjian perdagangan antara dua negara,” katanya.
Beliau berkata perjanjian itu dijangka dibentangkan pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) di Gyeongju, Korea Selatan, sekali gus membuka jalan bagi pertemuan yang dinanti-nantikan antara Trump dengan Presiden China Xi Jinping.
“Pada pandangan saya, kehadiran Trump di Kuala Lumpur, bersama-sama pasukan rundingan dan pasukan dari Beijing benar-benar memperkukuh kemungkinan pertemuan antara Trump dengan Xi di Seoul, hasil daripada rundingan berjaya antara kedua-dua pasukan perdagangan,” katanya.
Azmi berkata perkara ini merupakan kejayaan diplomatik yang penting bagi Malaysia, sekali gus mengingatkan dunia tentang reputasi negara yang semakin meningkat sebagai pengantara yang boleh dipercayai ketika ketidaktentuan global.
Bagi Kuala Lumpur, lawatan itu bukan sekadar pertemuan diplomatik, tetapi juga pengiktirafan terhadap peranan Malaysia sebagai jambatan antara timur dengan barat serta sebagai suara kesederhanaan dalam dunia yang semakin kompleks.
Sebaik sahaja konvoi presiden itu meninggalkan ibu negara semalam, yang tinggal bukanlah memori lawatan berpofil tinggi, tetapi satu peringatan bahawa kepercayaan dan kerjasama masih penting dan Malaysia terus memainkan peranan dalam membentuk masa depan ASEAN, bersama-sama sahabat di seluruh Pasifik.
-- BERNAMA