Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin
KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup lebih rendah hari ini selepas dijejaskan oleh kebimbangan mengenai permintaan yang agak lembap selain peningkatan pengeluaran komoditi itu dalam beberapa minggu akan datang.
Bagaimanapun, peniaga minyak sawit David Ng memberitahu Bernama, harga komoditi tersebut dijangka kekal disokong dengan baik pada RM4, 250 satu tan, dengan rintangan pada paras RM4, 400.
CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd pula berkata sentimen pasaran hari ini diseret oleh eksport yang lebih perlahan daripada pengeluar utama Malaysia dan kebimbangan terhadap penurunan penggunaan semasa bulan-bulan musim sejuk di hemisfera utara.
“Penghantaran ke India merosot 35 peratus berbanding bulan sebelumnya dalam tempoh 25 hari pertama bulan ini, menurut data daripada juruukur kargo Intertek Testing Services. Permulaan musim sejuk juga boleh memberi tekanan terhadap permintaan dari China,” katanya dalam satu laporan hari ini.
Pada penutup, kontrak bulan semerta November 2025 hilang RM51 kepada RM4,284 satu tan, manakala kontrak Disember 2025 berkurangan RM54 kepada RM4,300 dan Januari 2026 susut RM56 kepada RM4,317.
Februari 2026 merosot sebanyak RM58 kepada RM4,330 satu tan, manakala Mac 2026 melemah RM55 kepada RM4,331 dan April 2026 kehilangan RM56 kepada RM4,321.
Jumlah dagangan meningkat kepada 106,224 berbanding 69,120 lot yang disaksikan pada Isnin, manakala kepentingan terbuka menokok 270,174 kontrak daripada 268,476 kontrak sebelumnya.
Di pasaran fizikal, November Selatan jatuh sebanyak RM30 kepada RM4,340 satu tan.
-- BERNAMA