EKONOMI

Meneruskan Momentum Daripada Kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN, Perdana Menteri Adakan lawatan Kerja Ke AELM Di Gyeongju

29/10/2025 11:05 AM

Daripada Nor Baizura Basri

GYEONGJU (Korea Selatan), 29 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan kerja ke Gyeongju, Korea Selatan, Khamis ini, beliau mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Pemimpin Ekonomi (AELM) Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) bermula Jumaat ini.

Duta Besar Malaysia ke Korea Selatan Datuk Mohd Zamruni Khalid berkata Anwar akan diiringi oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta pegawai kanan kerajaan.

Beliau berkata Perdana Menteri dijadual menyampaikan intervensi Malaysia semasa Dialog Pemimpin Ekonomi APEC dengan para tetamu pada 31 Oktober (Jumaat) dan Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC pada 1 November depan yang mengetengahkan dasar dan pencapaian negara serta memperjuangkan keutamaan bersama Selatan Global.

"Pada Jumaat, antara lain, Perdana Menteri akan menekankan kepentingan keterangkuman dalam pengukuhan rantaian bekalan, pembangunan ekonomi digital dan kerjasama serantau demi pembangunan mampan.

"Keesokannya, pada Pemukiman Pemimpin Ekonomi APEC dengan tema ‘Preparing a Future-Ready Asia Pacific’ pula, Perdana Menteri akan mengetengahkan kerangka dasar negara dalam transformasi digital dan kecerdasan buatan (AI), inisiatif-inisiatif berhubung AI di peringkat ASEAN, pemantapan industri kreatif negara dan langkah strategik untuk menangani perubahan demografi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita Malaysia pada sidang media diadakan secara dalam talian pada Selasa.

Selain itu, Mohd Zamruni berkata Anwar akan mengadakan dialog dengan Majlis Penasihat Perniagaan APEC pada 31 Okt, serta mesyuarat dua hala dengan rakan sejawatnya dari ekonomi APEC yang lain.

Anwar yang juga Menteri Kewangan turut akan bertemu dengan syarikat-syarikat utama Korea Selatan sebagai sebahagian daripada usaha untuk meneroka prospek perniagaan, perdagangan dan pelaburan selanjutnya di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik.

“Saya pasti Perdana Menteri akan meneruskan momentum ini, memandangkan kita baru sahaja berjaya menamatkan Sidang Kemuncak ASEAN dan mesyuarat berkaitan. Dengan kejayaan itu, kami yakin ia akan diteruskan ke AELM dan kami berharap perjanjian perdagangan intra-APEC juga akan menyaksikan kemajuan.

“Seperti saya nyatakan, Deklarasi Gyeongju akan diterima pakai, bersama-sama dengan tiga dokumen lain. Kita berharap dengan ini, APEC tahun ini juga akan dianggap berjaya,” kata Mohd Zamruni apabila ditanya sama ada kejayaan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan mesyuarat berkaitan akan berulang di AELM nanti.

Beliau berkata intipati deklarasi itu, dijangka akan diluluskan oleh semua Pemimpin APEC, merangkumi kepentingan ketersambungan dalam memperkukuh integrasi ekonomi dan perdagangan serantau; kesalinghubungan rantaian bekalan yang berdaya tahan; manfaat inovasi, transformasi digital dan AI; serta menangani cabaran serantau dalam mencapai pembangunan mampan.

Mohd Zamruni juga berkata Pemimpin APEC dijangka meluluskan tiga dokumen tambahan sebagai hala tuju strategik untuk APEC dalam menangani perkembangan semasa iaitu Inisiatif AI APEC, Rangka Kerja Kolaboratif untuk Perubahan Demografi dan Kenyataan Pemimpin mengenai Kerjasama dalam Industri Budaya dan Kreatif.

Beliau berkata Malaysia telah menjadi anggota pengasas APEC sejak 1989 dengan ekonomi APEC menyumbang 78 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia pada 2023, berjumlah RM2.6 trilion.

Sepanjang Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW), perbincangan akan berkisar mengenai tema "Membina Masa Depan yang Mampan" (Building a Sustainable Tomorrow) dan memberi tumpuan kepada keutamaan utama "Berhubung, Berinovasi dan Makmur" (Connect, Innovate and Prosper).

Perhimpunan unggul itu tahun ini menandakan 20 tahun sejak republik itu kali terakhir menganjurkan AELM pada tahun 2005 di Busan.

Presidennya, Lee Jae Myung akan mempengerusikan AELM dan mengetuai perbincangan mengenai mempromosikan perdagangan dan pelaburan dalam persekitaran ketidakpastian global yang semakin meningkat, memupuk kerjasama awam-swasta untuk kemakmuran ekonomi dan memanfaatkan trend baharu muncul sebagai pemacu pertumbuhan baharu.

APEC, sebuah forum tidak terikat, mewakili 21 anggota yang secara kolektifnya menyumbang hampir 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan 47 peratus daripada perdagangan dunia.

Gyeongju digelar "muzium tanpa tembok", merupakan lokasi kepada pelbagai tapak bersejarah, sebahagiannya ditetapkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan telah dipilih untuk menganjurkan perhimpunan ekonomi Asia-Pasifik tahun ini.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484671