Oleh Jailani Hassan
LABUAN, 29 Okt (Bernama) -- Sebanyak 4,615 telur penyu telah dieram di pantai dan pulau sekitar Labuan dari Januari hingga Oktober tahun ini, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan terhadap pemuliharaan hidupan marin, kata Pengarah Jabatan Perikanan Labuan Sufian Ahmad.
Beliau berkata jumlah itu merangkumi 4,192 telur penyu karah (Eretmochelys imbricata) dan 423 telur penyu agar (Chelonia mydas), dengan 3,316 anak penyu - masing-masing 3,077 penyu karah dan 239 penyu agar - berjaya dilepaskan ke laut.
Beliau berkata tahun ini mencatatkan peningkatan ketara dalam jumlah telur yang dieram dan anak penyu yang berjaya dilepaskan berbanding 2,562 telur dieram dan 1,423 anak penyu dihasilkan tahun lepas.
“Perkembangan positif ini menunjukkan keberkesanan inisiatif pemuliharaan yang dijalan secara berterusan serta kerjasama erat antara jabatan dan komuniti tempatan di pulau-pulau sekitar,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata aktiviti pemantauan tahun ini turut merekodkan 38 pendaratan penyu di pantai dan pulai berhampiran Labuan, terdiri daripada 33 ekor penyu karah dan lima ekor penyu agar.
Sufian berkata walau menunjukkan perkembangan menggalakkan, namun terdapat tiga ekor penyu agar yang ditemukan mati di perairan Labuan dalam tempoh sama tahun ini berbanding dua kes dilaporkan tahun lepas.
“Ini menunjukkan keperluan untuk terus meningkatkan kesedaran awam dan memperkukuh langkah perlindungan khususnya terhadap ancaman seperti pengunaan peralatan menangkap ikan secara haram dan pencemaran laut,” katanya.
Beliau berkata hanya dua spesies penyu iaitu penyu karah dan penyu agar direkodkan mendarat untuk bertelur di sepanjang pesisir pantai Labuan.
“Jabatan ini sentiasa memperkukuh program pemuliharaan penyu melalui penglibatan komuniti, kempen kesedaran serta pemantauan berkala bagi memastikan spesies terancam ini terus membiak dan hidup subur,” katanya.
Sufian turut menyeru nelayan dan penduduk pesisir pantai supaya melaporkan sebarang kejadian pendaratan atau kematian penyu kepada Jabatan Perikanan bagi membolehkan tindakan pemuliharaan segera diambil.
-- BERNAMA