MERSING, 23 Okt (Bernama) -- Populasi penyu di perairan negara kian berkurangan, menandakan ancaman serius terhadap satu daripada spesies marin tertua di dunia yang kini berdepan kepupusan.
Bagi memastikan kelangsungan hidupan marin berharga ini, pelbagai inisiatif pemuliharaan giat dijalankan termasuk di Pulau Tengah yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan bot dari Jeti Mersing, melalui inisiatif di Batu-Batu Resort di bawah naungan Tunku Abdul Jalil Conservation Centre (TAJCC).
Pulau tersebut juga merupakan lokasi pendaratan utama dua spesies penyu di negara ini, iaitu penyu karah dan penyu hijau, sekali gus menjadikan Pulau Tengah sebagai antara tapak penyu bertelur terpenting di perairan Johor.
pic-2
Menariknya, pulau itu juga menempatkan pameran rangka penyu yang diawet sebagai simbol kesedaran tentang kepentingan memelihara dan melindungi khazanah laut yang tidak ternilai tersebut.
Pegawai Pemuliharaan (Junior) Pulau Tengah Conservation Cheng Si Va Sanggara berkata kebiasaannya, musim bertelur bermula dari April hingga September, menyaksikan puluhan induk penyu kembali ke pantai untuk bertelur.
“Setiap induk penyu mampu menghasilkan 60 hingga 120 biji telur dalam satu musim, dan mereka akan kembali ke pantai sama beberapa kali sepanjang tempoh itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di TAJCC, baru-baru ini.
pic-3
Cheng yang mesra disapa Siva, berkata setiap penyu berpotensi kembali hingga lapan kali dalam satu musim dengan selang masa 10 hingga 14 hari bagi setiap kelompok telur baharu.
“Kebiasaannya seekor penyu yang bertelur minggu ini dijangka datang semula dalam masa 10 hingga 14 hari untuk mengeluarkan kelompok telur seterusnya. Jadi, sepanjang tempoh itu kami akan memantau sekiranya penyu berkenaan kembali ke pesisir,” katanya.
Berkongsi lanjut, beliau berkata setiap penyu mempunyai corak tersendiri pada sisi muka dan berfungsi sebagai pengenalannya sama seperti cap jari pada manusia, sekali gus membantu pasukan pemuliharaan mengenal pasti penyu yang pernah direkodkan.
Selain itu, penyu juga dikenal pasti menerusi teg logam dengan nombor siri yang dipasang pada haiwan berkenaan.
pic-4
Sementara itu, Siva berkata usaha pemuliharaan yang dilakukan mereka bukan setakat penyu tetapi turut meliputi terumbu karang dan rumpai laut.
“Objektif utama kami bertumpu pada pemantauan dan perlindungan habitat serta spesies dengan sebahagian besar usaha dilakukan di Pulau Tengah. Namun, kami juga jalankan pemantauan di tujuh buah pulau lain di perairan ini termasuk Pulau Hujung, Harimau, Gual, Mensirip dan Pulau Rawa,” katanya.
pic-5
Selain daripada itu, mereka juga mendidik pelajar sekolah tentang pelancongan lestari, spesies dilindungi, perlindungan habitat dan pelbagai lagi dalam usaha meningkatkan kesedaran masyarakat tentang ancaman terhadap ekosistem marin berkenaan.
“Kita sasarkan golongan muda ini agar mereka pulang ke rumah dan berkongsi ilmu itu dengan ibu bapa masing-masing,” katanya.
-- BERNAMA