DUNIA

China Mahu Rancakkan Landskap Kerjasama Dengan Asia Barat

29/10/2025 04:53 PM

RIYADH 29 Okt (Bernama-CMG) -- Usaha memacu pembangunan dan mewujudkan kemakmuran adalah hasrat bersama masyarakat antarabangsa, serta cabaran kolektif yang dihadapi oleh semua negara di dunia terutama negara-negara membangun.

Demikian dinyatakan Naib Presiden China Han Zheng ketika menghadiri dan menyampaikan ucaptama dalam Persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan ke-9 di sini pada Selasa.  

Untuk menghadapi cabaran berkenaan , Han turut mengemukakan empat cadangan, iaitu memperkasa penggerak inovasi baharu bagi mendorong pembangunan hijau, mengekalkan keterbukaan dan kerjasama untuk mewujudkan manfaat bersama, berpaksikan kepentingan rakyat untuk mewujudkan kemakmuran bersama dan memupuk kefahaman bersama untuk memperkasa perpaduan dan kerjasama.

Han menyatakan bahawa persahabatan dan kerjasama antara China dan negara-negara Asia Barat sudah wujud sekian lama.

China bersedia untuk memperdalam kerjasama muhibah dengan negara-negara Asia Barat termasuk Arab Saudi, memacu pembangunan yang berkualiti tinggi dalam kerangka Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI), memperbanyak dimensi dalam landskap kerjasama sumber tenaga, mempercepat perkembangan kerjasama pelaburan sektor kewangan, menambah elemen baharu dalam kerjasama sosiobudaya, dan memacu inovasi dalam kerjasama sains teknologi.

Persidangan Inisiatif Pelaburan Masa Depan merupakan forum pelaburan dan inovasi yang terbesar dan paling berpengaruh di kawasan Asia Barat. Persidangan yang bertemakan "Kunci Kemakmuran" kali ini merangkumi 250 acara dengan kehadirian lebih 8,000 tetamu termasuk pemimpin dari 16 negara serta perwakilan pegawai dan usahawan dari pelbagai negara.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484831