ROM, 29 Okt (Bernama-Anadolu) -- Paus Leo XIV pada Selasa menggesa agar peperangan di seluruh dunia ditamatkan, sambil menegaskan bahawa usaha mencapai keamanan merupakan tanggungjawab setiap pemimpin politik, lapor Anadolu Ajansi.
“Konflik wujud di mana sahaja ada kehidupan, tetapi kita tidak dapat mengurus mahupun menyelesaikannya melalui peperangan,” katanya pada majlis penutupan forum antara agama di Rom.
Beliau menggesa para pemimpin politik memulakan era perdamaian yang tulen dan berkekalan serta menyeru agar semua peperangan dihentikan serta-merta.
Ketua Gereja Roman Katolik itu berkata dunia sedang dahagakan keamanan dan memberi amaran bahawa manusia tidak seharusnya terbiasa hidup dalam keadaan peperangan.
Beliau menyifatkan usaha menamatkan peperangan sebagai tanggungjawab yang tidak boleh ditangguhkan di hadapan Tuhan dan menekankan bahawa keamanan mesti menjadi keutamaan utama dalam politik.
-- BERNAMA-ANADOLU