EKONOMI

Perjanjian Perdagangan Malaysia-AS Sahkan Butiran Yang Ditetapkan Sebelumnya- OCBC

29/10/2025 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Perjanjian perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (AS) yang dimuktamadkan pada 26 Okt, 2025 dilihat secara umum sebagai pengesahan butiran yang disampaikan sebelum ini, kata OCBC.

Firma itu dalam nota Penyelidikan Pasaran Global hari ini berkata perjanjian berkenaan menegaskan mengenai kadar tarif untuk eksport Malaysia ke AS akan kekal pada 19 peratus dengan senarai pengecualian yang lebih jelas.

Mengenai kadar tarif, OCBC berkata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz memberitahu iaitu sebanyak 1,711 barisan tarif kini diberikan pengecualian.

"Ini berjumlah US$5.2 bilion (12 peratus daripada eksport). Ia merupakan tambahan kepada eksport semikonduktor yang masih dikecualikan daripada tarif timbal balas selain menyumbang sekitar 26 peratus daripada jumlah eksport ke AS pada separuh pertama 2025 bersama beberapa pengecualian lain," katanya.

OCBC berkata pengumuman mengenai tarif semikonduktor masih belum selesai dan ia bergantung kepada jenis tarif serta syarat yang dilampirkan selain eksport Malaysia ke AS mungkin akan terjejas secara ketara.

Mengenai perbincangan bukan tarif, OCBC berkata perjanjian mengenainya menunjukkan keperluan untuk memudahkan lagi perniagaan di Malaysia bagi syarikat-syarikat AS.

Akses yang lebih mudah kepada lesen import, pengurangan keperluan untuk peraturan teknikal serta prosedur kastam dan kemudahan yang lebih lancar merupakan antara langkah yang dipersetujui, tambahnya.

Perbincangan mengenai akses yang lebih besar untuk produk pertanian AS seperti keju dan daging secara tidak langsung menekankan usaha pentadbiran AS untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih luas ke ASEAN bagi produk pertanian.

Bank berkenaan bagaimanapun mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar 2025 pada 4.6 peratus berbanding tahun sebelumnya dan unjuran 2026 pada 3.8 peratus.

"Pengumuman mengenai tarif semikonduktor akan menjadi pemangkin seterusnya untuk kami menyemak semula unjuran kami.

"Dari segi dasar monetari, kami masih menjangkakan Bank Negara Malaysia mengekalkan kadar dasar tidak berubah iaitu pada 2.75 peratus," katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2484949