EKONOMI

Permintaan Kargo Udara Syarikat Penerbangan Asia-Pasifik Naik 6.8 Peratus Pada September - IATA

30/10/2025 12:18 AM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Syarikat penerbangan Asia-Pasifik menyaksikan permintaan kargo udara tumbuh 6.8 peratus bagi tahun ke tahun pada September 2025, demikian menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Dalam kenyataannya hari ini, IATA berkata di peringkat global, permintaan itu meningkat 2.9 peratus tahun ke tahun pada September yang juga bulan ketujuh berturut-turut mencatat pertumbuhan secara menyeluruh.

“Di sebalik pertumbuhan itu adalah perubahan signifikan corak perdagangan apabila dasar tarif Amerika Syarikat (AS), termasuk berakhirnya pengecualian tertentu yang mula dikuatkuasakan. Pada sebelah lain, berlaku penurunan permintaan antara Amerika Utara dan Asia dalam tempoh lima bulan lepas.

“Bagaimanapun, ini telah diimbangi oleh pertumbuhan kukuh dalam Asia serta laluan yang menghubungkan Asia ke Eropah, Afrika dan Timur tengah,” kata Ketua Pengarah IATA Willie Walsh.

Beliau berkata walaupun banyak pihak bimbang berlakunya kemerosotan perdagangan global, kargo udara sebaliknya terbukti dapat memenuhi permintaan pasaran yang berubah.

Beberapa faktor telah menyumbang kepada persekitaran operasi termasuk pertumbuhan perdagangan barangan global sebanyak 3.7 peratus tahun ke tahun pada Ogos dan kenaikan harga bahan api jet sebanyak 5.4 peratus pada September walaupun harga minyak rendah, didorong oleh pasaran diesel lebih ketat.

Selain itu, sentimen pembuatan global turut mengukuh pada September dengan Indeks Pengurus Pembelian pula meningkat bagi bulan kedua berturut-turut kepada 51.3.

Jumlah pesanan eksport baharu juga meningkat sedikit kepada 49.6, namun masih di bawah nilai ambang pengembangan 50 mata yang hanya membuktikan sentimen berhati-hati yang berterusan susulan ketidaktentuan tarif.

Pada masa sama, IATA berkata jumlah kargo udara pada September 2025 meningkat di kebanyakan laluan perdagangan utama.

Laluan Eropah-Asia serta dalam Asia mencatat peningkatan dua digit yang kukuh manakala laluan Timur Tengah–Asia, Amerika Utara-Eropah dan Afrika-Asia juga meningkat secara ketara.

Bagaimanapun, keadaan sebaliknya bagi laluan Asia-Amerika Utara, Timur Tengah-Eropah dan dalam Eropah yang merosot.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485005