PASIR MAS, 30 Okt (Bernama) -- Sepasang kekasih mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas pertuduhan merompak barang kemas di sebuah kedai pajak gadai dianggarkan bernilai RM5.755 juta, minggu lepas.
Wee Chin Ooi, 49, dan Wee Fei Fang, 47, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan.
Chin Ooi didakwa merompak barang kemas itu dengan menggunakan sebilah pisau terhadap seorang wanita di sebuah kedai pajak gadai di sini pada 1 tengah hari 21 Okt.
Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan dibaca bersama-sama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh disebat atau denda, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Fei Fang didakwa bersubahat dengan teman lelakinya melakukan rompakan itu di lokasi serta pada masa dan tarikh sama, dengan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 392 dibaca bersama-sama Seksyen 397 dan Seksyen 109 kanun sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Aiysha Na'ilah Harizan manakala peguam M.K Maalinn mewakili pasangan tersebut.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan terhadap mereka dan menetapkan sebutan semula kes pada 6 Nov untuk serahan dokumen.
Sebelum ini, Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan polis menahan seorang pengurus kedai pajak gadai dan teman lelakinya kerana dipercayai menjadi dalang rompakan barang kemas seberat 10.9 kilogram.
-- BERNAMA