JENAYAH & MAHKAMAH

Dua Pegawai Bank Mengaku Salah Gagal Lapor Rasuah

07/11/2025 03:16 PM

SHAH ALAM, 7 Nov (Bernama) -- Dua bekas pegawai bank mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pilihan gagal melaporkan rasuah berkaitan penyediaan dokumen perjanjian pembiayaan antara 2021 hingga 2022. 

Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan denda berasingan, iaitu RM25,000 kepada Mohd Haikal Jamaludin, 41, dan RM6,000 kepada Amira Nabiela Mohamad Jamaruddin, 28.

Mahkamah turut memerintahkan Mohd Haikal dipenjara 30 bulan dan Amira Nabiela enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan lima pertuduhan pilihan, Mohd Haikal didakwa menerima suapan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM15,920 yang dimasukkan dalam akaun bank miliknya melalui seorang wakil firma guaman.

Suapan itu diberikan sebagai upah mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan lima dokumen penjanjian pembiayaan perumahan dianggar bernilai RM2.46 juta, di dua cawangan bank di sekitar Petaling Jaya antara 14 April 2021 hingga 13 Jan 2022.  

Sementara itu, Amira Nabiela didakwa dengan satu pertuduhan pilihan menerima suapan wang tunai RM3,201 yang juga dimasukkan dalam akaun banknya sebagai upah bagi mencadangkan firma guaman lain bagi penyediaan dua pinjaman pembiayaan perumahan keseluruhan RM924,387.20 dengan kesalahan itu dilakukan di cawangan bank di Shah Alam pada 23 Nov 2021. 

Kedua-dua tertuduh didakwa melanggar Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana gagal melaporkan kepada pegawai SPRM atau polis berhubung penerimaan wang suapan berkenaan.

Mereka juga melanggar Seksyen 25 (1) Akta SPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25 (2) akta sama, iaitu jika sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya.

Dalam prosiding rayuan, Mohd Haikal yang tidak diwakili peguam memaklumkan beliau menanggung empat anak dan menjaga ibunya yang baru selesai menjalani pembedahan kanser tahap empat. 

Amira Nabiela yang juga tidak diwakili peguam memohon hukuman denda rendah kerana kini tidak bekerja dan menanggung komitmen bulanan termasuk rumah, kereta, pinjaman pendidikan dan seorang anak berusia setahun.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Muhamad Taufik Awaludin dan Nurul Izzati Sapifee memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran. 

Dalam prosiding berasingan, seorang pegawai bank Koh Wei Yeong, 37, mengaku tidak bersalah di mahkamah sama atas dua pertuduhan menerima suapan wang tunai sebanyak RM1,800 daripada sebuah firma guaman di cawangan bank di Kelana Jaya pada 13 Mei 2020.

Suapan diberikan sebagai upah mencadangkan firma guaman itu bagi penyediaan pinjaman pembiayaan berjumlah RM300,000 dengan melanggar Seksyen 16 (a) (A) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24 (1) akta yang sama.

Koh turut berdepan satu pertuduhan pilihan tidak melaporkan pemberian suapan berkenaan. Mahkamah membenarkan ikat jamin RM8,000 beserta syarat menyerahkan pasport, tidak menganggu saksi pendakwaan serta melaporkan diri pada SPRM setiap bulan. Kes akan disebut semula pada 16 Dis ini. 

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Selvam T Armugom manakala Peguam Paramjit Singh mewakili tertuduh.

Semalam, media melaporkan sebanyak 49 pegawai dan bekas pegawai institusi perbankan yang disyaki menerima rasuah daripada beberapa firma guaman akan didakwa secara berperingkat sepanjang November ini di Mahkamah Sesyen Shah Alam.  

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2488198