BUKIT MERTAJAM, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang melupuskan pelbagai jenis barangan rampasan bernilai RM4.76 juta sepanjang tahun ini.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata rampasan itu hasil tindakan penguatkuasaan dan pemeriksaan pihaknya meliputi kesalahan berkaitan barangan kawalan, kawalan harga dan antipencatutan, pelanggaran hak intelek, sewa beli, penipuan dalam talian dan sebagainya.
“Ekshibit yang dilupuskan terdiri daripada pelbagai barangan termasuk pakaian, beg dan aksesori wanita pelbagai jenama serta alat ganti kenderaan.
“Turut dilupuskan, makanan, produk penjagaan kesihatan serta aksesori dan peranti elektronik berjenama tiruan dengan jumlah keseluruhan 81,049 unit yang telah selesai proses pendakwaan dan pengkompaunan,” katanya pada sidang media Program Pelupusan Ekshibit Mega di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang Bukit Minyak di sini hari ini.
Jegan berkata dari tempoh 1 Jan hingga hari ini, sebanyak 65,790 premis telah diperiksa dan 793 kes diambil tindakan melibatkan pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM3.05 juta.
Beliau berkata 625 kes turut dikenakan kompaun berjumlah RM439,000 manakala dua kes telah dibawa ke mahkamah melibatkan jumlah denda RM16,000 ke atas pihak terlibat.
Jegan berkata berdasarkan tindakan kes pengkompaunan dan pendakwaan, 167 kes melibatkan barang sitaan telah dilupus dan dijadikan hasil kerajaan selepas dilucutkan hak.
-- BERNAMA