AM

Perdana Menteri Hulur Sumbangan Peribadi Kepada Keluarga Allahyarham Mohd Yazid

30/10/2025 04:41 PM

SEREMBAN, 30 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghulurkan sumbangan peribadi kepada keluarga Allahyarham Mohd Yazid Zakaria, Konduktor Orkestra Tradisional Malaysia, Istana Budaya, yang meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar semalam.

Sumbangan tersebut disampaikan oleh Pengarah Pembangunan Negeri Sembilan Datuk Noor Ihsan Che Mat sebagai tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Allahyarham dalam industri muzik tanah air.

“Atas keprihatinan Perdana Menteri, beliau meminta saya menyampaikan sumbangan peribadi ini kepada keluarga Allahyarham.

“Perdana Menteri amat bersimpati atas pemergian Allahyarham dan berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban ditanggung keluarga,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah Allahyarham di Taman Paroi Jaya, di sini.

Allahyarham Mohd Yazid, 57, meninggalkan seorang isteri Norlilawati Mohd Kasim, 54, dan lima anak. Anak sulungnya bakal melangsungkan perkahwinan pada Sabtu ini.

Allahyarham pernah dinobatkan Tokoh Pekerja Negara (Perkhidmatan Awam) sempena sambutan Hari Pekerja 2024. Ketika penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, beliau turut bertanggungjawab mengetuai persembahan pada Majlis Makan Malam Gala ASEAN.

Norlilawati ketika ditemui turut menzahirkan rasa syukur dan terima kasih atas keprihatinan serta sumbangan diberikan pelbagai pihak terhadap keluarganya.

Beliau berkata, arwah suaminya tidak menghidap sebarang penyakit, namun sejak kebelakangan ini sering sibuk dengan tugasan kerja yang padat selain ada mengadu berasa kebas pada tangan.

“Sepanjang hayatnya, arwah sangat berdedikasi dan berkhidmat lebih 20 tahun di Istana Budaya,” katanya.

Norlilawati turut memaklumkan bahawa majlis perkahwinan anak mereka tetap diteruskan seperti dirancang, namun diadakan secara sederhana sebagai tanda menghormati pemergian suaminya.

Dalam pada itu, anak kedua Allahyarham, Irfan Syahidi Mohd Yazid, 25, pula berkata arwah bapanya amat menantikan majlis perkahwinan kakaknya dan banyak membantu dalam persiapan tersebut.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485253