PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mahu Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) muncul sebagai pusat latihan dan rujukan kehakiman syariah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa serta menjadi mercu tanda kebanggaan umat Islam di bawah naungan Kerajaan MADANI.
Beliau berkata AKSM bukan sahaja berperanan melahirkan hakim, pendaftar, pendakwa dan peguam syarie yang berpengetahuan tinggi dalam undang-undang, malah individu yang berintegriti, cekal dan rasa insaf dalam menegakkan keadilan syariah.
“AKSM akan menjadi simbol kepada pengurusan latihan yang terancang dan berkesan, selaras dengan kehendak kompetensi penjawat awam serta keperluan masyarakat.
“Dengan ini, JKSM perlu terus memperkukuh peranannya sebagai pusat rujukan dan inovasi syariah negara serta pusat kecemerlangan ilmu, latihan dan pemikiran kehakiman Islam yang diyakini serta disegani,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Mohd Na’im turut menyarankan agar AKSM memperluas jangkauan dan pengaruh di peringkat serantau melalui jaringan ilmiah Nusantara, dengan menjalin kerjasama strategik bersama institusi kehakiman dan universiti di Indonesia, Brunei, Singapura dan wilayah Islam lain di rantau ini.
“Matlamat akhirnya ialah untuk mencapai pengiktirafan antarabangsa sebagai pusat latihan kehakiman syariah yang diyakini dunia,” katanya.
Mohd Na’im turut menyeru agar AKSM menjadi pemangkin utama kepada lonjakan profesionalisme, integriti dan kualiti perkhidmatan kehakiman syariah bagi memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman Islam di negara ini.
Beliau yakin dengan pengurusan cekap, tenaga pengajar berwibawa dan kurikulum yang dinamik, AKSM mampu memacu agenda pemerkasaan syariah secara mampan, berimpak dan lestari.
“Objektif utama AKSM amat jelas iaitu menyediakan latihan profesional dan sistematik kepada warga kehakiman syariah termasuk hakim syarie, pendakwa syarie, pegawai syariah serta peguam syarie di seluruh negara.
“Di sinilah akan dilahirkan insan-insan unggul yang cemerlang ilmunya, luhur akhlaknya dan teguh integritinya dalam menegakkan keadilan Islam,” katanya.
Mohd Na’im berkata penubuhan AKSM menjadi manifestasi kepada iltizam berterusan yang digarap sejak lebih dua dekad iaitu seawal 2001.
Beliau berkata hasrat itu mula digerakkan melalui keputusan Mesyuarat Ketua-Ketua Hakim Syarie kali ke-19, disusuli dengan sokongan Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) pada 19 Feb 2009 dan mendapat perkenan Majlis Raja-Raja pada 19 Mac 2009.
-- BERNAMA