AM

Fadhlina Tinjau Kesiapsiagaan Sekolah Hadapi Banjir Di Kedah

30/10/2025 08:25 PM

ALOR SETAR, 30 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memastikan kesiapsiagaan sekolah menghadapi bencana berada pada tahap terbaik dengan aspek keselamatan murid, guru dan seluruh warga pendidikan terpelihara.

KPM dalam kenyataan hari ini, memaklumkan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek telah mengadakan sesi lawatan kerja sehari ke Kedah untuk meninjau persediaan menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dan kemungkinan banjir.

“Menteri Pendidikan telah mempengerusikan mesyuarat penyelarasan persediaan menghadapi MTL bersama-sama pengurusan tertinggi Jabatan Pendidikan Negeri Kedah dan pegawai pendidikan daerah.

“Persediaan turut merangkumi keperluan melaksanakan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam situasi banjir,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, Fadhlina turut meninjau persediaan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di sini yang akan dijadikan pusat penempatan calon SPM sewaktu banjir.

Beliau juga menziarahi mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Haji Idris, Pendang yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS), dengan sebanyak 128 mangsa ditempatkan di situ setakat petang tadi.

Dalam pada itu, Pengetua SMK Tunku Abdul Malik, Faridah Derani berkata asrama sekolah itu telah dikosongkan untuk memberi laluan kepada calon SPM terjejas banjir menginap sepanjang tempoh peperiksaan.

“Sebanyak 74 calon SPM dijangka terjejas banjir, selain sekolah ini juga akan menerima 45 calon tumpang dari SMK Alor Merah,” katanya semasa ditemui pemberita.

Faridah berkata sepanjang tempoh itu, pelajar tingkatan satu hingga empat sekolah itu menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485442