DUNIA

Perancis, Sepanyol Gesa Had Kuasa Veto PBB Bagi Pastikan Keadilan Di Gaza

30/10/2025 08:55 PM

ISTANBUL, 30 Okt (Bernama-Anadolu) -- Perancis dan Sepanyol sekali lagi pada Khamis menggesa agar kuasa veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dihadkan, dengan menyatakan bahawa mekanisme itu berulang kali menghalang tindakan global ketika berdepan krisis kemanusiaan seperti di Semenanjung Gaza.

Menteri Luar Perancis Jean-Noel Barrot berkata majlis itu perlu direformasi bagi mencerminkan realiti geopolitik semasa dan mengembalikan keabsahan terhadap keputusan yang dibuatnya.

“Kami mahu memastikan dua kerusi tetap Majlis Keselamatan diberikan kepada Afrika, dan bahawa Jepun, Jerman serta Brazil turut mempunyai kerusi… bagi menjadikan keputusan lebih sah dan berwibawa,” lapor Anadolu Ajansi memetik kenyataan Barrot pada Forum Keamanan Paris.

Beliau menambah bahawa Perancis telah bekerjasama “selama bertahun-tahun” dengan Mexico untuk mempromosikan inisiatif bagi mengehadkan hak veto dalam kes kekejaman, satu cadangan yang kini disokong lebih 20 negara.

“Kami gagal mencapai komitmen bersama berhubung Gaza,” katanya sambil menegaskan Majlis Keselamatan perlu memikul “tanggungjawab moral dan politik” untuk menegakkan undang-undang antarabangsa.

“Itulah sebabnya kami begitu tegas memperjuangkan pembaharuan Majlis Keselamatan bagi membuka jalan kepada keputusan yang disekat oleh veto apabila hak asasi manusia terjejas,” katanya.

Menteri Luar Sepanyol Jose Manuel Albares senada dengan Barrot, menyatakan bahawa pendirian negaranya adalah konsisten “sama ada di Ukraine, Gaza, Sudan atau Sahel.”

“Kami mempertahankan undang-undang antarabangsa, undang-undang kemanusiaan antarabangsa serta perlindungan orang awam,” katanya.

Albares turut menyifatkan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin di Asia Barat  (UNRWA) sebagai “badan PBB yang tidak dapat digantikan,” sambil menegaskan bahawa “kehidupan enam juta rakyat Palestin di Timur Tengah bergantung kepadanya.”

Beliau menegaskan bantuan kemanusiaan “mesti sampai ke Semenanjung Gaza tanpa halangan,” dan mereka yang bertanggungjawab terhadap serangan ke atas petugas bantuan “perlu dihadapkan ke muka pengadilan.”

“Kami mesti mengingatkan bahawa keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa adalah mengikat untuk semua pihak dalam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, termasuk negara Israel,” katanya sambil menambah bahawa “Israel tidak boleh mempunyai hak veto.”

Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) Mirjana Spoljaric-Egger memberi amaran bahawa operasi kemanusiaan di Gaza kekal “amat rumit, sensitif dan berbahaya.”

“Gencatan senjata mesti dikekalkan, berjuta-juta nyawa kini di ambang bahaya,” katanya.

“Sekiranya pertempuran disambung semula, penduduk tidak lagi mempunyai daya tahan,” katanya lagi.

Spoljaric-Egger turut memberi amaran bahawa pengabaian terhadap undang-undang antarabangsa di Gaza dan Sudan memberi “isyarat kepada 450 kumpulan bersenjata dan pihak bukan negara bahawa segala-galanya dibenarkan,” sambil menegaskan bahawa kekuatan mereka kini dipergiat oleh kemajuan teknologi baharu.

-- BERNAMA-ANADOLU

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485449