JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kelantan Sedia Bekerjasama Dengan Thailand Buru Perompak Kedai Emas

30/10/2025 11:03 PM

JELI, 30 Okt (Bernama) -- Polis Kelantan sedia bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand untuk memburu sekumpulan lelaki terlibat dalam rompakan kedai emas di sebuah pusat membeli-belah di Sungai Golok, Narathiwat pada 5 Okt.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat bagaimanapun berkata setakat ini, pihaknya tidak menerima sebarang permohonan bantuan untuk mengesan suspek yang didakwa telah melarikan diri ke Malaysia.

“Kita bersedia pada bila-bila masa sahaja untuk membantu. Jika mereka mempunyai maklumat lanjut termasuk butiran diri dan gambar suspek boleh dikongsikan untuk memudahkan proses mengesan suspek,” katanya. 

Mohd Yusoff berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Latihan Amal Ancaman Pengganas di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Tenaga Nasional Berhad Empangan Pergau di sini hari ini.

Terdahulu, Bernama melaporkan tujuh daripada 10 suspek kes rompakan kedai emas itu dipercayai meloloskan diri ke Malaysia manakala tiga lagi ditahan di lokasi berasingan di Sungai Padi, Narathiwat pada 15 Okt. 

Sementara itu, mengulas persediaan Monsun Timur Laut (MTL) Mohd Yusoff berkata pihaknya berada dalam mod kesiapsiagaan, dengan persediaan juga dibuat berdasarkan pengalaman berdepan bencana itu sebelum ini

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485494