DUNIA

Ukraine Catu Penggunaan Tenaga Elektrik

30/10/2025 10:27 PM

MOSCOW, 30 Okt (Bernama-Anadolu) -- Kementerian Tenaga Ukraine pada Khamis mengumumkan pelaksanaan catuan penggunaan elektrik di seluruh negara berikutan kerosakan teruk pada infrastruktur tenaga penting, lapor Anadolu Ajansi.

“Bagi menstabilkan grid tenaga, catuan penggunaan elektrik kini dilaksanakan di seluruh Ukraine,” menurut kenyataan kementerian itu.

Pengendali grid milik kerajaan, Ukrenergo, menjelaskan bahawa gangguan bekalan elektrik bergilir akan berlaku setiap hari antara pukul 8 pagi hingga 7 malam waktu tempatan (GMT+2).

Gangguan bekalan meluas dan berpanjangan yang menjejaskan beberapa wilayah, termasuk ibu negara Kyiv, bermula pada 10 Okt lepas.

Pihak berkuasa mengesahkan kerosakan besar pada rangkaian elektrik serta kemudahan utiliti lain, sekali gus memburukkan lagi krisis tenaga negara itu.

Menteri Tenaga Svetlana Grinchuk menyifatkan keadaan semasa sebagai “amat mencabar.”

Laporan susulan dalam beberapa hari berikutnya turut mendedahkan kerosakan tambahan pada kemudahan tenaga utama, mendorong pelaksanaan meluas jadual gangguan bekalan elektrik berjadual dan kecemasan di seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485497