JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Tahan Pasangan Suami Isteri, Rampas Dadah Lebih RM2.8 Juta

31/10/2025 11:32 AM

IPOH, 31 Okt (Bernama) -- Polis menahan sepasang suami isteri kerana disyaki terlibat aktiviti pengedaran melibatkan rampasan dadah bernilai RM2.87 juta di Taiping pada Rabu lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin berkata lelaki tempatan 39 tahun itu ditahan di tepi jalan di Pokok Assam pada 5.15 petang manakala suspek wanita 26 tahun di sebuah rumah di Taman Assamara hari sama.

“Polis merampas enam paket lutsinar mengandungi dadah disyaki methamphetamine seberat 5.06 kilogram dan cecair dipercayai dadah dengan anggaran berat 84.75 liter.

“Turut dirampas dua kenderaan iaitu Nissan Navara dan Honda City dianggarkan bernilai RM100,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Noor Hisam berkata polis turut merampas peralatan dan bahan kimia dipercayai digunakan dalam proses pembersihan semula methamphetamine tidak berkualiti untuk dijual semula.

Pasangan itu disyaki terlibat aktiviti pengedaran sejak Ogos lepas dan dadah dirampas dipercayai untuk pasaran luar Perak serta boleh digunakan lebih 51,000 penagih.

Noor Hisam berkata hanya suspek lelaki didapati positif methamphetamine serta mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah. 

Mereka direman selama seminggu bermula Rabu bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kejayaan ini hasil risikan berterusan dan kerjasama orang awam. Kita tidak akan berkompromi dengan mereka terlibat mengedar, memiliki atau melindungi aktiviti berkaitan dadah,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485560