POLITIK

YDP PAS Kawasan Tambun Mat Salleh Said Meninggal Dunia

31/10/2025 11:46 AM

IPOH, 31 Okt (Bernama) -- Yang Dipertua PAS Kawasan Tambun Mat Salleh Said, meninggal dunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini pada 10.30 malam tadi.

Setiausaha PAS Kawasan Tambun memaklumkan perkara itu menerusi kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi parti berkenaan.

“Beliau bukan sekadar pemimpin, tetapi murabbi, pembimbing dan sumber kekuatan buat kita semua. Semoga Allah SWT merahmati rohnya serta menerima segala amal jihad dan pengorbanannya dalam perjuangan Islam ini. Al-Fatihah buat Almarhum Ustaz Mat Salleh Said,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan tersebut turut memaklumkan jenazah Allahyarham akan disolatkan di Surau Al-Jamaiyah, Taman Hiburan, Hulu Kinta dekat sini pada 11 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Pekan Tambun.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Perak Datuk Idris Ahmad, dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan beliau bersama isteri telah menziarahi jenazah Allahyarham di kediamannya di Taman Perpaduan Koperasi Tambun pada 1 pagi tadi.

"Semoga Allah mengampuni, merahmati dan menempatkan Almarhum bersama para solihin," katanya.

Mat Salleh pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta mewakili PAS dalam pertandingan empat penjuru.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485567