AM

Produktiviti Buruh Catat Pertumbuhan Positif Di Kebanyakan Negeri Pada 2024 - DOSM

30/10/2025 02:17 PM

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Produktiviti buruh mencatatkan pertumbuhan positif di kebanyakan negeri pada 2024 dengan enam negeri melepasi 2.4 peratus pertumbuhan negara, menurut laporan Produktiviti Buruh mengikut Negeri, 2024 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.

Negeri berkenaan adalah Pahang, Johor, Kuala Lumpur, Melaka, Selangor dan Sarawak.

Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata produktiviti buruh Malaysia meningkat 2.4 peratus pada 2024, merekodkan nilai ditambah per pekerja sebanyak RM99,265 seorang (2023: 0.7 peratus; RM96,914 seorang) dengan ekonomi Malaysia bertumbuh 5.1 peratus pada 2024 (2023: 3.5 peratus).

“Sementara itu, jumlah pekerja meningkat kepada 16.6 juta orang, menunjukkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 2.6 peratus pada 2024 (2023: 16.2 juta orang; 2.8 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kebanyakan negeri mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan pada 2024 dengan enam negeri mengatasi kadar pertumbuhan negara didahului Pahang dengan 4.9 peratus (2023: 2.8 peratus), diikuti Johor 4.3 peratus (2023: 2.1 peratus), Kuala Lumpur 3.0 peratus (2023: 0.8 peratus), Melaka 2.8 peratus (2023: 0.8 peratus), Selangor 2.8 peratus (2023: 1.9 peratus) dan Sarawak 2.7 peratus (2023: -1.2 peratus).

“Dalam konteks prestasi sektoral, sektor pembinaan memacu prestasi keseluruhan dengan mencatatkan peningkatan ketara sebanyak 16.4 peratus pada 2024, diikuti sektor pembuatan (2.6 peratus), pertanian (2.2 peratus), perkhidmatan (1.8 peratus) dan perlombongan dan pengkuarian (0.7 peratus),” katanya.

Mohd Uzir berkata dengan dorongan pasaran buruh yang mampan dan ekonomi yang stabil, produktiviti buruh Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk prospek positif yang berdaya tahan walaupun berdepan cabaran dalam pembaharuan pasaran buruh dan ketidaktentuan ekonomi. 

“Pelaburan berterusan dalam pembangunan kemahiran terutamanya tenaga kerja melalui latihan dan pendidikan, transformasi digital, komunikasi dan analitik akan menjadi kunci dalam mengekalkan peningkatan kecekapan buruh di setiap negeri di Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485165