KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Mesyuarat Menteri-Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) perlu memperluas kerjasama melangkaui aspek ketenteraan tradisional bagi menangani ancaman baharu yang bukan tradisional merentasi sempadan dan dimensi.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata cabaran keselamatan masa kini seperti serangan siber, penyebaran maklumat palsu dan manipulasi digital menjadi ancaman besar setanding pertikaian wilayah, sekali gus memerlukan ASEAN mengamalkan pandangan jauh dalam teknologi, kerjasama keselamatan siber serta inovasi bersama.
“Sama ada di darat, laut atau ruang siber, kita tidak boleh lagi mengabaikan mana-mana aspek keselamatan. Aktor bukan negara yang berpengaruh kini menggunakan teknologi sebagai senjata untuk mengganggu kestabilan masyarakat, menggulingkan kerajaan serta menjejaskan infrastruktur kritikal melalui serangan siber, penyebaran maklumat palsu dan manipulasi digital.
“Jika kita tidak melabur untuk menghadapi ancaman ini, bermakna kita gagal menjamin masa depan,” katanya ketika berucap pada pembukaan rasmi ADMM ke-19 di sini hari ini.
ADMM ke-19 dihadiri menteri-menteri pertahanan ASEAN serta Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Him Hourn.
Sementara itu, Mohamad Khaled berkata pengaruh ASEAN yang semakin kukuh mencerminkan kepercayaan serta keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap pendekatan blok itu yang berkecuali dan inklusif dalam menangani isu keselamatan serantau.
Beliau berkata dua kekuatan utama ASEAN iaitu kesepaduan dalaman dan keterbukaan luaran membolehkan blok itu kekal sebagai tuan rumah berwibawa, boleh dipercayai dan berkecuali dalam agenda keselamatan serantau.
Pada masa sama, Mohamed Khaled merakamkan penghargaan kepada Thailand dan Kemboja yang memberi kepercayaan kepada Malaysia untuk membantu memudah cara serta mempercepat penyelesaian secara aman pertikaian sempadan kedua-dua negara itu, selain kepada negara anggota ASEAN lain dan rakan seperti Amerika Syarikat, atas sokongan berterusan mereka terhadap usaha itu.
“Saya menggesa semua negara ASEAN bukan sahaja menyokong usaha damai ini, tetapi turut membantu dan mempercepat penubuhan Pasukan Pemerhati ASEAN.
“Adalah menjadi harapan bersama agar keamanan dan kepercayaan terus subur dalam kalangan semua pihak kerana isu ini bukan sekadar pertikaian sempadan, sebaliknya mencerminkan reputasi serta keupayaan ASEAN untuk membina keyakinan dan menyelesaikan konflik secara aman,” katanya.
Dalam ucapannya, Mohamed Khaled menegaskan semula pendirian bahawa Kepusatan ASEAN perlu terus menjadi prinsip panduan rantau ini, berteraskan komitmen bersama untuk sentiasa mengutamakan kepentingan ASEAN melebihi segala-galanya.
Beliau berkata dengan berdiri teguh bersama, ASEAN dapat kekal dan bersatu padu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai platform utama bagi dialog dan kerjasama serantau.
ADMM ke-19 dan ADMM-Plus ke-12 bermula hari ini hingga 2 Nov, dengan penyertaan lapan rakan dialog Plus iaitu Amerika Syarikat, Rusia, Australia, China, India, Jepun, Korea Selatan dan New Zealand.
-- BERNAMA