KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia ditutup rendah sedikit ketika sesi dagangan tengah hari ini berikutan aktiviti pengambilan untung, terutamanya dalam kaunter telekomunikasi, produk pengguna dan perladangan.
Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 1.27 mata atau 0.08 peratus kepada 1,612.93 daripada 1,614.20 ketika ditutup pada Khamis.
Indeks petunjuk utama itu dibuka 4.31 mata lebih rendah pada 1,609.89 dan bergerak antara 1,607.66 dan 1,615.10 sepanjang sesi dagangan pagi.
Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhan adalah negatif dengan 508 kaunter rugi mengatasi 367 kaunter untung, manakala 454 kaunter tidak berubah, 1,341 tidak diniagakan dan 60 digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.19 bilion saham bernilai RM1.09 bilion.
Malacca Securities Sdn Bhd dalam satu nota berkata meskipun berlaku jualan besar-besaran dalam saham teknologi Amerika Syarikat (AS) berikutan kebimbangan terhadap pelaburan besar dalam kecerdasan buatan (AI), prospek sektor itu kekal positif.
“Kami percaya pelaburan ini akhirnya akan menyokong beberapa saham teknologi tempatan terpilih yang berpotensi mendapat manfaat daripada gelombang trend AI global. Selain itu, kaunter teknologi lain dengan asas kukuh juga mungkin menawarkan peluang dagangan menarik,” katanya.
Firma teknologi utama seperti Nvidia, Microsoft dan Alphabet dilaporkan sedang meningkatkan perbelanjaan terhadap infrastruktur AI, latihan model dan kapasiti awan.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank dan IHH Healthcare masing-masing naik satu sen kepada RM9.90 dan RM8.21, CIMB Group menokok tiga sen kepada RM7.34, Public Bank tidak berubah pada RM4.22, manakala Tenaga Nasional susut dua sen kepada RM13.30.
Bagi saham paling aktif, Dagang Nexchange menambah tiga sen kepada 31 sen, Tanco naik 1.5 sen kepada 94.5 sen, dan Insights Analytics meningkat 3.5 sen kepada 74.5 sen. Perak Transit susut dua sen kepada 34.5 sen, manakala Ekovest berkurangan satu sen kepada 34 sen.
Antara saham paling untung, Nestle melonjak RM4.20 kepada RM114.70, United Plantations naik 18 sen kepada RM24.82, dan Sarawak Oil Palms meningkat 17 sen kepada RM3.69. Fraser & Neave menambah lapan sen kepada RM28.42, manakala Ajiya menokok tujuh sen kepada RM1.19.
Kaunter paling rugi termasuk Chin Teck Plantations, susut 46 sen kepada RM11.28, sementara Malaysian Pacific dan PPB Group masing-masing merosot 28 sen kepada RM29.98 dan RM11.32. Petronas Dagangan berkurangan 18 sen kepada RM22.50, manakala Bursa Malaysia turun 17 sen kepada RM8.15.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas berkurangan 11.50 mata kepada 12,039.80, Indeks FBMT 100 susut 11.91 mata kepada 11,780.56 dan Indeks FBM Emas Syariah berkurangan 17.29 mata kepada 12,107.84.
Indeks FBM 70 turun 28.51 mata kepada 17,048.63, manakala Indeks FBM ACE merosot 6.05 mata kepada 5,223.79.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 2.38 mata kepada 18,190.87, Indeks Perladangan berkurangan 12.30 mata kepada 8,007.87 dan Indeks Tenaga turun 1.20 mata kepada 767.23. Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian pula menyusut 0.16 mata kepada 171.34.
-- BERNAMA