AM

Lori Halang Jalan, Trafik Sesak 6km Di KM263.4 Arah Utara PLUS

31/10/2025 02:04 PM

IPOH, 31 Okt (Bernama) -- Aliran trafik sesak sejauh enam kilometer (km) berikutan kemalangan membabitkan sebuah lori yang terbabas lalu merintangi jalan di KM263.4 arah utara Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS), antara laluan Ipoh ke Terowong Menora, dekat sini pagi tadi.

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menerusi hantaran di akaun X rasmi @plustrafik memaklumkan kemalangan berlaku pada 9.28 pagi itu menyebabkan lorong tengah dan kanan menghala ke utara terhalang.

"Patuhi arahan pengawal atau papan tanda trafik di lokasi. Pastikan semua langkah berjaga-jaga diambil dan semoga selamat sampai ke destinasi," menurut hantaran itu.

Bagaimanapun setakat 12.42 tengah hari, PLUS memaklumkan semua lorong kembali dibuka dengan insiden selesai sepenuhnya, namun trafik masih perlahan.

Terdahulu, tular di laman Facebook berkenaan kemalangan itu yang menyebabkan trafik sesak kira-kira 12km.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485625