SEREMBAN, 29 Okt (Bernama) -- Sebanyak 20 Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) membabitkan Negeri Sembilan, Selangor dan Perak dijadikan Zon Persinggahan Patuh (ZPP) bermula hari ini di bawah program Patuh, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata ia bagi memperkukuh budaya pematuhan perniagaan dan memastikan ekosistem perdagangan negara kekal kondusif serta berintegriti khususnya dalam kalangan entiti perniagaan selain menekankan pendekatan kawalan kendiri peniaga terhadap undang-undang.
“Dua inisiatif utama diperkenalkan sebagai projek perintis iaitu ZPP dan Pasar Patuh. Hari ini kita melihat R&R PLUS Seremban arah Selatan menjadi ZPP pertama di Malaysia yang melaksanakan program Patuh dan diikuti dengan Kawasan R&R lain.
“Pelaksanaan ZPP ini melibatkan 20 daripada 29 Kawasan R&R PLUS sebagai fasa awal sebelum diperluas ke lebuh raya lain di seluruh negara,” katanya selepas melancarkan program itu di R&R PLUS Seremban arah Selatan di sini hari ini.
Beliau berkata pemilihan R&R itu dibuat kerana lokasinya yang menjadi tumpuan pengguna lebuh raya dan sesuai dijadikan platform pendidikan pengguna serta model amalan perniagaan berintegriti dan patuh undang-undang.
Beliau berkata pendekatan itu turut menyokong hasrat kerajaan untuk memperkukuh keyakinan rakyat terhadap sistem perdagangan yang adil, beretika serta berdaya saing.
“Pelaksanaan program ini turut mencerminkan semangat kerjasama rentas agensi antara kerajaan, industri dan pengguna dalam memastikan setiap inisiatif dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.
Fuziah berkata selain kawasan rehat dan pasar terdapat empat lagi premis yang akan melaksanakan program Patuh iaitu pasar raya, kedai serbaneka, restoran dan zon pelancongan yang berkuat kuasa awal tahun depan.
Sementara itu, beliau berkata pelaksanaan Pasar Patuh diharap dapat memperkukuhkn pematuhan dalam kalangan peniaga pasar awam dengan penekanan harga jelas, penggunaan alat timbang tepat dan persekitaran perniagaan yang bersih.
Beliau berkata pelaksanaan Pasar Patuh akan dimulakan di satu pasar awam setiap negeri sebelum diperluaskan secara berperingkat ke seluruh pasar dalam negara.
Dalam pada itu, Fuziah berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan berkaitan kenaikan harga makanan melampau di Kawasan R&R, dan jika ada pengguna boleh membuat aduan segera kepada KPDN.
-- BERNAMA