Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka rendah pada Jumaat berikutan prestasi Wall Street semalaman yang kurang menggalakkan.
Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) merosot 5.28 mata kepada 1,608.92 daripada 1,614.20 semasa ditutup pada Khamis, selepas dibuka rendah 4.31 mata kepada 1,609.89.
Pasaran secara menyeluruh negatif sedikit, dengan 197 kaunter rugi mengatasi 112 kaunter untung manakala 263 kaunter kekal tidak berubah, 2,097 tidak diniagakan dan 60 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 147.02 juta saham bernilai RM63.60 juta.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng menyifatkan penurunan tersebut dengan prestasi pendapatan korporat yang kurang menggalakkan di Amerika Syarikat (AS).
“Dow merosot 0.23 peratus kepada 47,522.12, S&P 500 berkurangan hampir satu peratus kepada 6,822.34 manakala Nasdaq susut 1.57 peratus kepada 23,581.14,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata sentimen disokong oleh perjanjian perdagangan antara AS dan China yang terkini serta jangkaan terhadap dasar Rizab Persekutuan (Fed) AS yang lebih akomodatif.
“Kami menjangka minat belian pada penilaian yang menarik dan jumlah dagangan yang meningkat, dengan indeks petunjuk pasaran dijangka berada antara 1,610 dan 1,620 hari ini,” katanya.
Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank, masing-masing merosot satu sen kepada RM9.88 dan RM4.21 manakala CIMB Group meningkat empat sen kepada RM7.35. Tenaga Nasional berkurangan empat sen kepada RM13.28 dan IHH Healthcare menambah tiga sen kepada RM8.23.
Dalam senarai paling aktif, Perak Transit dan Revenue Group, masing-masing merosot setengah sen kepada 36 sen dan 7.5 sen manakala TWL Holdings dan NEXG Bina, masing-masing tidak berubah pada 2.5 sen dan lima sen. Omesti berkurangan 1.5 sen kepada 6.5 sen.
Kaunter paling untung termasuklah Malaysian Pacific, melonjak 22 sen kepada RM30.48; See Hup Consolidated meningkat enam sen kepada 79 sen serta Sarawak Oil Palms dan KSL Holdings, masing-masing naik empat sen kepada RM3.56 dan RM3.02. AirAsia X menambah tiga sen kepada RM1.84.
Kaunter paling rugi ialah MISC, merosot 43 sen kepada RM7.40; Chin Teck Plantations berkurangan 36 sen kepada RM11.38; Bursa Malaysia susut 14 sen kepada RM8.18; Kuala Lumpur Kepong menurun 12 sen kepada RM20.76 dan Petronas Dagangan merosot 10 sen kepada RM22.58.
Di papan indeks, Indeks FBM Emas jatuh 35.42 mata kepada 12,015.88, Indeks FBMT 100 merosot 35.23 mata kepada 11,757.23 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 48.82 mata kepada 12,076.31.
Indeks FBM 70 menurun 36.41 mata kepada 17,040.73 dan Indeks FBM ACE berkurangan 8.04 mata kepada 5,221.80.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 10.02 mata kepada 18,183.23, Indeks Perladangan berkurangan 27.72 mata kepada 7,992.45, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan menurun 0.19 mata kepada 171.31 dan Indeks Tenaga susut 0.44 mata kepada 767.99.
-- BERNAMA