DUNIA

Trump Gesa Pemansuhan Peraturan Filibuster Di Senat AS

31/10/2025 10:19 PM

WASHINGTON, 31 Okt (Bernama-dpa) -- Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump menggesa supaya peraturan filibuster di Kongres AS dimansuhkan susulan penutupan kerajaan yang masih berlarutan, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Prosedur itu membolehkan minoriti dalam Senat AS menyekat rang undang-undang yang dicadangkan oleh pihak majoriti dengan melanjutkan masa perbahasan dan menghalang proses pengundian.

“Laksanakan ‘pilihan nuklear’, hapuskan filibuster dan jadikan Amerika hebat semula!” tulis Trump di platform medianya, Truth Social, lewat Khamis.

Peraturan filibuster, yang telah digunakan selama lebih 100 tahun, adalah unik kepada Senat AS.

Menurut laman sesawang rasmi Senat, ia merupakan “tindakan yang direka untuk memanjangkan perbahasan dan menangguh atau menghalang pengundian terhadap sesuatu rang undang-undang, resolusi, pindaan atau isu perbahasan lain.”

Filibuster hanya boleh ditamatkan melalui usul “cloture”, namun ia memerlukan sekurang-kurangnya 60 undi daripada 100 ahli Senat.

Ketika ini, Parti Republikan pimpinan Trump menguasai 53 kerusi di Senat dan memerlukan sekurang-kurangnya tujuh undi daripada Demokrat untuk menamatkan perbahasan dan membolehkan pengundian dijalankan.

Parti Demokrat – yang digelar Trump sebagai “benar-benar gila” dalam kenyataannya – menyedari kedudukan mereka dan menuntut konsesi daripada parti Trump sebagai pertukaran bagi sokongan undi.

Penutupan Kerajaan AS telah berlarutan lebih empat minggu tanpa tanda berakhir, susulan kegagalan Demokrat dan Republikan mencapai kata sepakat mengenai bajet persekutuan yang menjadi asas kepada pembiayaan kerajaan.

Akibatnya, banyak agensi serta institusi kerajaan terpaksa ditutup atau mengehadkan operasi mereka dengan ketara.

--BERNAMA-dpa 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2485887