Oleh Marfika Adnan Haris Fadzilah
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Pengarah serta penerbit filem tempatan perlu lebih berani dalam berkarya dengan memberi lebih ruang kepada pelakon yang memiliki kualiti dalaman seperti kejujuran, disiplin dan semangat tinggi daripada hanya bergantung pada populariti mereka.
Pelakon Qi Razali, atau nama sebenar Qushairi Mohammed Razali, 48, berkata ini termasukmemberi peluang kepada bakat baharu yang mampu menyuntik kesegaran serta keaslian ke dalam naskhah filem.
"Jangan takut untuk ambil keputusan bekerjasama dengan pelakon-pelakon yang jujur, ada usaha, berdisiplin, tidak semestinya yang popular sahaja, kerana yang mempopularkan mereka ialah filem dan naskhah yang tepat,” katanya kepada pemberita selepas dinobatkan sebagai Pelakon Lelaki Terbaik FFM34 menerusi lakonannya dalam filem Babah di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34), di sini pada Sabtu.
pic-2
Mengulas kemenangannya, Qi menyifatkannya sebagai rezeki tidak disangka dan penghargaan besar buat seluruh tenaga produksi yang terlibat.
Mengakui tidak menaruh harapan tinggi, beliau bagaimanapun percaya kejujuran dalam menyampaikan kisah kekeluargaan menerusi filem berkisar hubungan seorang ayah dengan anak yang menyentuh hati penonton merupakan kekuatan karya arahan Mohd Shah Faizul itu.
"Harapan itu memang ada, tapi saya lebih banyak berserah. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya malam ini,” katanya yang mengetepikan empat lagi finalis, iaitu Aeril Zafrel (Laknat) Beto Kusyairy (Reversi), Sharnaaz Ahmad (Blood Brothers: Bara Naga) dan Tony Eusoff (Mencari Ramlee).
pic-3
Bagi menjayakan watak seorang bapa pekak, Qi mengikuti kelas bahasa isyarat selama tiga minggu serta menjalani latihan bersama-sama tenaga pengajar di lokasi penggambaran bagi memahami cara komunikasi golong kurang upaya pendengaran.
“Watak ini mencabar sebab saya perlu berkomunikasi tanpa suara, dan pada masa sama menghidupkan emosi seorang ayah yang kehilangan anak. Saya hanya lakukan dua ‘take’ untuk babak berat itu, dan selebihnya saya percaya pada arahan pengarah,” katanya.
pic-4
Sementara itu, pelakon muda berbakat Sweet Qismina menganggap kemenangan sulungnya sebagai Pelakon Wanita Terbaik FFM34 sebagai rezeki tidak disangka dan menghadiahkan kemenangan tersebut kepada ibunya yang menjadi tulang belakang sejak awal pembabitannya dalam dunia seni.
“Alhamdulillah, semua ini saya tidak pernah terfikir… perjalanan saya masih jauh dan banyak lagi yang perlu dibaiki. Allah takdirkan rezeki ini untuk saya dan saya sangat bersyukur. Kejayaan ini bukan untuk saya malah untuk mama,” katanya.
pic-5
Sweet Qismina atau nama penuhnya Farhanna Qismina Supandi berkata kemenangannya menerusi filem Babah bukan sekadar pengiktirafan terhadap lakonannya, tetapi juga hasil usaha seluruh produksi yang menjayakan watak Maya, seorang pesakit Guillain-Barre Syndrome (GBS) yang melalui pelbagai cabaran fizikal dan emosi.
Untuk menjayakan watar itu, Sweet Qismina perlu menurunkan berat badan dalam tempoh sebulan dan mempelajari bahasa isyarat bagi memastikan penghayatan lebih realistik.
“Watak Maya ini memang sangat mencabar, tapi ia dekat di hati saya kerana ‘babah’ ialah panggilan sebenar saya untuk arwah ayah. Ada satu babak perkahwinan yang saya tak dapat raikan dengan arwah, dan semua emosi itu saya curahkan dalam filem ini,” katanya dengan nada sebak.
pic-6
Di sebalik kemenangannya, Sweet Qismina tetap merendah diri dan meluahkan rasa kagum terhadap semua pelakon yang tercalon termasuk Nabila Huda yang disifatkannya sebagai antara pelakon terbaik negara.
“Saya tengok semua filem calon lain bukan untuk menilai, tapi untuk belajar. Kualiti mereka sangat tinggi, jadi bila nama saya diumumkan, saya betul-betul tak sangka,” katanya.
Sweet Qismina mengetepikan Khatijah Tan (Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu), Maya Karin (Telaga Suriram), Nabila Huda (Telaga Suriram) dan Sofia Jane (Mencari Ramlee).
Selain Filem Terbaik dan anugerah Pelakon Wanita serta Lelaki Terbaik, filem Babah turut memenangi trofi Lakon Layar terbaik, Cerita Asal Terbaik dan Pengarah Harapan menerusi Mohd Shah Faizul Ibrahim.
-- BERNAMA