EKONOMI

Insentif Pengeluaran Getah Oktober 2025 Diaktifkan Bagi Pekebun Kecil Sabah, Sarawak

04/11/2025 11:00 AM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Insentif Pengeluaran Getah (IPG) untuk getah sekerap dan lateks diaktifkan di Sabah dan Sarawak bagi Oktober 2025, menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM).

Menerusi kenyataan hari ini, LGM menjelaskan ini kerana harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap pada Oktober 2025 adalah RM2.70 sekilogram di Sabah dan RM2.60 sekilogram di Sarawak.

Oleh yang demikian, bayaran IPG getah sekerap di Sabah adalah RM0.30 sekilogram (50 peratus Kandungan Getah Kering (KGK) manakala RM0.60 sekilogram (100 peratus KGK) dan IPG lateks RM0.90 sekilogram (100 peratus KGK).

“Di Sarawak, bayarannya adalah RM0.40 sekilogram (50 peratus KGK) manakala RM0.80 sekilogram (100 peratus KGK) bagi getah sekerap, manakala RM0.90 sekilogram (100 peratus KGK) bagi lateks,” jelasnya.

LGM memaklumkan kalangan pekebun kecil getah di Sabah dan Sarawak layak menerima bayaran IPG mulai 1 hingga 30 Nov, 2025 berdasarkan pengeluaran getah pada Oktober 2025.

“IPG getah sekerap dan lateks tidak teraktif di Semenanjung Malaysia bagi Oktober 2025. Oleh itu, tiada pembayaran IPG akan dilakukan bagi bulan tersebut,” menurut LGM.

Pada Oktober 2025, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap di Semenanjung Malaysia adalah RM3.00 sekilogram.

IPG akan teraktif sekiranya harga purata bulanan peringkat ladang bagi getah sekerap berada di bawah paras RM3.00 sekilogram manakala IPG lateks juga akan diaktifkan jika IPG getah sekerap teraktif, tambahnya.

“Kadar IPG lateks ditetapkan pada RM0.90 sekilogram bagi 100 peratus KGK,” jelas LGM.

Menurutnya IPG akan dibayar kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang berkelayakan dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486873