AM

Touch ’n Go Perkenal Ekosistem Mobiliti Pembayaran Terbuka Generasi Baharu

04/11/2025 04:13 PM

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Touch ’n Go Sdn Bhd (Touch ’n Go) hari ini memperkenalkan ekosistem mobiliti pembayaran terbuka generasi baharu, yang menampilkan pelbagai inovasi tempatan dalam sistem Pengenalan Frekuensi Radio (RFID), Aliran Pantas Lorong Pintar (SLFF) dan Aliran Pantas Berbilang Lorong (MLFF) yang bertujuan mentransformasikan landskap tol dan mobiliti negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Praba Sangarajoo berkata inovasi yang diperkenalkan itu, mencerminkan komitmen Touch ’n Go untuk memajukan infrastruktur mobiliti negara melalui teknologi dan inovasi tempatan.

“Touch ’n Go, syarikat teknologi kewangan dan mobiliti perintis Malaysia dan akan menyambut ulang tahun ke-30 pada tahun 2026. Sepanjang tempoh tersebut, kami terus berkembang dan memperkenalkan pelbagai penyelesaian baharu yang memudahkan perjalanan rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia, berasaskan teknologi dan inovasi tempatan.

“Dengan lebih 24 juta pengguna sah yang mempercayai platform kami, kami telah meningkatkan piawaian dalam aspek kemudahan, keselamatan dan pengalaman pengguna dalam bidang mobiliti. Fokus kami jelas — membangunkan produk untuk rakyat Malaysia, oleh rakyat Malaysia dan mewujudkan masa depan yang lebih bijak serta saling terhubung untuk semua,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, di Konvensyen Penyelenggaraan Jalan Malaysia (MRMC) 2025 dan Ekspo Teknologi Jalan & Trafik MY-ASEAN (My-ARTTE) 2025, Touch ’n Go Future Mobility turut mempamerkan inovasi terbaharunya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), semalam.

Pada pameran itu, Touch ’n Go menerima lawatan tinjauan mesra daripada Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, yang diberi taklimat mengenai inovasi terkini syarikat itu dalam sistem pembayaran terbuka dan tol.

Pembentangan syarikat tersebut menekankan kesiapsiagaan Malaysia untuk mengguna pakai teknologi tol pintar tanpa halangan yang lebih tepat, boleh diperkembangkan dan sedia untuk penguatkuasaan, sekali gus mencerminkan keupayaan Touch ’n Go yang semakin berkembang dalam menyokong penyelesaian mobiliti yang lancar dan saling terhubung di seluruh negara.

Tumpuan utama pameran ialah Titan Flow, platform MLFF hujung ke hujung yang dibangunkan sepenuhnya oleh jurutera tempatan. Sistem itu menggabungkan RFID sebagai teknologi pengesanan teras bersama pengecaman nombor pendaftaran automatik (ANPR) dan penderia 3D LiDAR, yang dipertingkat dengan kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan pengelasan kenderaan dan ketepatan penguatkuasaan secara masa nyata.

Menurut Touch ’n Go, Titan Flow membolehkan pengecaman kenderaan yang lebih tepat serta pengelasan tol automatik, memastikan keadilan kadar tol dan kebolehpercayaan operasi walaupun dalam keadaan trafik sesak atau cuaca buruk. Sistem berasaskan AI ini juga membuka ruang untuk ciri masa depan seperti kadar tol dinamik, yang boleh melaraskan kadar mengikut keadaan trafik atau kategori kenderaan.

Selain itu, keupayaan SLFF dan MLFF Touch ’n Go menandakan satu lonjakan besar ke arah mobiliti pembayaran terbuka sepenuhnya — membolehkan transaksi tol diproses dengan lancar tanpa halangan fizikal, sambil memastikan pengebilan dan penguatkuasaan yang tepat.

Syarikat itu turut memperkenalkan SOS Balance, atau lebih dikenali dengan slogan “Gerak Dulu, Nanti Roger!”, iaitu satu ciri yang membolehkan pengguna lebuh raya dengan baki e-dompet tidak mencukupi untuk melalui tol dengan lancar dan menambah nilai dalam tempoh 24 jam selepas itu.

Sejak diperkenalkan, ciri ini telah memberi manfaat kepada lebih 14 juta pengguna jalan raya dan memudahkan lebih RM42 juta pembayaran tol di lebuh raya yang mengambil bahagian.

Selain lebuh raya, ekosistem pembayaran terbuka Touch ’n Go kini turut merangkumi parkir, pengangkutan awam dan pengurusan armada korporat.

Melalui Ekosistem Parkirnya, Touch ’n Go mengintegrasikan sistem parkir tanpa tunai dan tanpa tiket menggunakan teknologi Pengecaman Nombor Pendaftaran (LPR), sementara Pas Transit Digital yang dibangunkan dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad, membolehkan pengguna menikmati perjalanan tanpa had di seluruh rangkaian rel dan bas Rapid KL.

Platform Fleet Solutions syarikat itu pula membolehkan pemantauan transaksi tol secara masa nyata bagi syarikat dan organisasi, sekali gus memberikan ketelusan yang lebih tinggi serta meningkatkan kecekapan operasi.

Sebagai anak syarikat milik penuh Kumpulan CIMB, Touch ’n Go menegaskan komitmennya untuk terus melabur dalam teknologi-teknologi terkini yang dapat memperkukuh peralihan Malaysia ke arah ekosistem mobiliti yang lebih terbuka, saling berhubung dan bersedia menghadapi masa depan.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2486971