KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) — Pada 26.03.2024 yang lalu, pihak BERNAMA telah menyiarkan satu laporan berita bertajuk
“Syarikat Dibantu Wan Saiful Peroleh Penarafan Empat bintang, Mahkamah Diberitahu” bagi melaporkan prosiding perbicaraan kes jenayah melibatkan Datuk Wan Saiful Wan Jan yang berlangsung pada tarikh 26.03.2024 di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.
Selepas penelitian semula dan hasil makluman dari pelbagai pihak, pihak BERNAMA mendapati bahawa tajuk artikel berita tersebut, sebagaimana yang dinyatakan di atas, berkemungkinan boleh menyebabkan kekeliruan, salah faham dan disalah erti bahawa Datuk Wan Saiful Wan Jan telah dengan secara rasuah membantu syarikat Nepturis Sdn. Bhd. mendapatkan penarafan empat bintang daripada Lembaga
Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Pentafsiran sebegini adalah tidak benar sama sekali.
Bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham, pihak BERNAMA telah menarik balik laporan berita tersebut.
Sebarang kesulitan dan salah faham yang mungkin timbul terhadap Datuk Wan Saiful Wan Jan susulan penerbitan laporan tersebut amat dikesali.
— BERNAMA